MOHD Zulatika (kiri) dan Nor Dhamirah menunjukkan koleksi barang kemas MiraGold.
MOHD Zulatika (kiri) dan Nor Dhamirah menunjukkan koleksi barang kemas MiraGold.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Miragold Sdn Bhd (MiraGold) melebarkan empayarnya dengan membuka cawangan baharu di Lembah Klang dan menyasarkan memiliki rangkaian kedai emas MiraGold di setiap negeri dalam tempoh dua tahun lagi.

Pengarahnya, Mohd Zulatika Ghani berkata, MiraGold membuka cawangan di Taman Melawati di sin, selepas lima tahun beroperasi di Johor Bahru.

Katanya, atas permintaan pelanggan MiraGold yang majoritinya di Lembah Klang, pihaknya optimis dengan pembukaan cawangan baharu itu, ia akan menyumbang kepada peningkatan jualan syarikat, pada tahun ini.

"Tahun ini, kami akan memfokuskan cawangan baharu itu dan di Johor, sekali gus mengeluarkan koleksi barang kemas yang memenuhi permintaan pelanggan kami.

"Di MiraGold, kami ketengahkan koleksi Dubai yang mana reka bentuknya lebih premium, mewah dan eksklusif. Kami juga mempunyai pereka persendirian yang tampil mengeluarkan koleksi terbaharu mengikut musim perayaan.

"Semasa kami memperkenalkan koleksi Dubai, MiraGold menjadi fenomena bukan sahaja di Malaysia, malah di Singapura, dan 30 peratus pelanggan kami di Johor adalah dari Singapura. Kami mempunyai peminat dari negara jiran itu," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, MiraGold turut menawarkan pembelian barangan perhiasan emas secara dalam talian dengan jaminan keselamatan penghantaran kepada pelanggan.

Sementara itu, Pengarah Urusannya, Nor Dhamirah Daling berkata, MiraGold juga aktif dalam penjualan dalam talian dan penstriman langsung di media sosial seperti Facebook, Tiktok dan Instagram, bagi mempromosikan produknya.

"(Kira-kira) 80 peratus pembeli online kami daripada pelanggan di Kuala Lumpur dan Selangor. Justeru, kami memilih Taman Melawati untuk cawangan utama di Lembah Klang disebabkan di sini ramai pelanggan MiraGold.

"Selain itu, sempena perayaan ini kami turut mengeluarkan koleksi kad raya syiling emas pada harga RM118 dan hanya 2,000 unit produk ini dihasilkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 9:24 AM