RAKAN kongsi Fariz Halim & Co, Mohd Redzuan (tengah) bersama kakitangannya ketika ditemui di pejabatnya.
RAKAN kongsi Fariz Halim & Co, Mohd Redzuan (tengah) bersama kakitangannya ketika ditemui di pejabatnya.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Pulau Pinang: Pengalaman lebih 20 tahun memberi perkhidmatan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Fariz Halim & Co terus komited menjadi rakan strategik yang membantu PKS mengatasi cabaran dengan menyediakan penyelesaian proaktif.

Rakan kongsinya, Mohd Redzuan Idrus berkata, kelebihan Fariz Halim & Co termasuk kepakaran yang mendalam dalam pematuhan undang-undang perniagaan, kemahiran perundingan kontrak yang cemerlang dan kemampuan penyelesaian pertikaian efisien.

Katanya, apa yang membuat Fariz Halim & Co unik adalah pendekatan bersepadu yang menumpukan kepada memahami keperluan khas setiap PKS dan menyediakan penyelesaian bersesuaian untuk mereka.

"Kami sudah mendedikasikan lebih 20 tahun pengalaman profesional untuk memberi servis kepada PKS, terutamanya dalam industri peruncitan dan perkhidmatan profesional.

"Fokus utama kami adalah mencipta hubungan kukuh dengan pelbagai syarikat dalam bidang ini dan kami juga dapati masalah utama yang dihadapi PKS termasuk perubahan perundangan yang cepat dan beban kewangan yang semakin meningkat.

"PKS turut menunjukkan kekurangan ketara iaitu kefahaman yang kurang mendalam mengenai keperluan perlindungan perundangan jangka panjang.

"Oleh itu, kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan perundangan dalam komuniti PKS," katanya kepada Bisnes Metro.

Selain itu, Mohd Redzuan berkata, pihaknya juga memperkenalkan perkhidmatan pengurusan harta pusaka holistik di bawah payung Fariz Halim & Co, dengan mengambil pendekatan menyeluruh dalam penyelesaian isu hartanah yang pelbagai, termasuk tanah lot lidi, tanah wakaf dan tanah rizab Melayu.

Beliau berkata, sejak memperkenalkan perkhidmatan ini, pihaknya berjaya membimbing dan membantu PKS dalam menangani isu kompleks berkaitan korporat dan hartanah, termasuk penyelesaian sengketa tanah, pembaikan struktur tanah wakaf dan strategi pengurusan hartanah berterusan.

"Fariz Halim & Co berkomitmen untuk tidak hanya menjadi rakan undang-undang PKS tetapi juga menjadi rakan strategik yang menyokong pertumbuhan dan kelestarian mereka.

"Dengan menyediakan pandangan holistik, sokongan berterusan dan inisiatif pembangunan komuniti, kami berharap dapat memberi impak positif kepada PKS dan komuniti peniaga di Malaysia secara keseluruhannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 6:00 AM