Mohd Muazzam. FOTO Arkib NSTP
Mohd Muazzam. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Bhd berharap lebih banyak insentif dipertimbangkan bagi institusi kewangan dan penyedia pembiayaan alternatif semasa pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, kerajaan perlu menimbang menyediakan insentif cukai kepada semua institusi kewangan yang menyediakan pembiayaan mikro kepada usahawan mikro.

"Di bawah program pembiayaan mikro untuk memperkasakan komuniti Asnaf dan kumpulan 50 peratus terbawah (B50, pembiayaan mikro diberikan bukan bagi keuntungan dan dalam kebanyakan keadaan, kos operasi lebih tinggi berbanding hasil," katanya kepada Bernama.

Beliau juga berharap melihat lebih banyak rangsangan kepada bank dan penyedia pembiayaan alternatif seperti pendanaan awam dan berian pinjaman rakan setara (P2P) kerana mereka saling bekerjasama menyediakan perkhidmatan kewangan holistik dan yang disesuaikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Insentif boleh diberikan dalam bentuk penepian duti setem bagi kontrak pembiayaan dan pengecualian cukai ke atas pendapatan yang diterima oleh pelabur apabila melabur dalam produk kolaborasi dalam kalangan bank dan penyedia pembiayaan alternatif," katanya.

Bagi pembiayaan PKS, beliau berkata, sokongan bagi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation (CGC) perlu dilanjutkan.

"Langkah ini akan membolehkan lebih banyak bank meningkatkan penyertaan kredit dalam memacu segmen PKS. Seterusnya, PKS dapat menjana pendapatan dan membawa kepada potensi hasil cukai kepada negara," katanya.

Beliau juga mencadangkan kemudahan bantuan dan pemulihan melalui Bank Negara Malaysia dan kos dana sifar peratus (COF) diteruskan kerana ini akan membolehkan lebih banyak PKS mengakses pembiayaan yang lebih murah untuk pulih daripada pandemik.

Mohd Muazzam juga berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan peruntukan geran atau dana khas, bukan berasaskan deposit bagi bank untuk membangunkan program pembiayaan khusus seperti pembiayaan mikro kepada mereka yang tidak mendapat perkhidmatan perbankan atau yang kurang berkemampuan.

"Bank-bank Islam akan memperuntukkan dana atau geran sebagai akaun pelaburan yang disokong oleh aset pendasar yang terdiri produk berasaskan ekuiti seperti mudarabah atau Musyarakah.

"Prinsip perkongsian keuntungan-kerugian dan risiko tinggi, pulangan tinggi yang dikaitkan dengan kewangan Islam boleh dikaji di bawah cadangan ini," katanya.

Mengenai ekonomi Islam, beliau berkata Wakaf, sebagai dasar kerajaan, merupakan kunci kepada strategi pertumbuhan yang inklusif dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) menunjukkan bahawa akan ada pelan induk bagi Wakaf.

"Institusi perbankan Islam telahpun memulakan inisiatif pembiayaan sosial dan ia bertambah baik dengan rancangan untuk memperkenalkan pendekatan yang lebih holistik, terutama terhadap Wakaf.

"Memperuntukkan lebih banyak sumber bagi tujuan ini akan meningkatkan peranan institusi perbankan Islam dalam membantu ummah, justeru, kami mengharapkan lebih banyak pertimbangan diberikan terhadap inisiatif ini dalam pembentangan Bajet 2022," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Muazzam berkata data daripada Jabatan Pertanian menunjukkan bahawa 119,173 hektar tanah yang sesuai untuk pertanian telah ditinggalkan terbiar, dengan 117,198 hektar daripadanya di Semenanjung Malaysia.

Beliau menekankan bahawa penggunaan tanah ini mampu meningkatkan pengeluaran makanan kerana negara secara konsisten mencatatkan defisit perdagangan bahan makanan berjumlah RM21.8 bilion pada 2020 daripada RM1.1 bilion pada 1990.

"Memulihkan semula sektor ini juga bermaksud strategi pertumbuhan yang lebih seimbang dengan mengurangkan kepadatan di kawasan bandar dan menyediakan aktiviti komersial di kawasan luar bandar," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Muazzam juga berharap penyampaian maklumat yang relevan mengenai keadaan rakyat dilakukan tepat pada masanya bagi memudahkan libat urus industri dengan kementerian berkaitan pada masa nyata.

"Kerajaan perlu menetapkan komitmen bersama oleh semua institusi kewangan dengan kaedah penyampaian yang disasarkan melalui pakej bantuan yang telah ditetapkan terlebih dahulu atau diselaraskan kepada individu yang terjejas, memenuhi semua keadaan khusus dan tidak dijangka seperti bencana alam dan wabak dalam kesihatan awam.

"Pendekatan yang disasarkan dalam program bantuan bayaran balik akan memberi bantuan yang lebih mampan bagi memastikan institusi perbankan melindungi keupayaan mereka untuk menyerap kerugian dan mengekalkan aktiviti pembiayaan," katanya.

Beliau juga yakin peranan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) perlu dipertingkatkan.

AKPK berfungsi sebagai pusat sehenti untuk menyediakan bantuan khusus dan kaunseling kewangan kepada individu yang terjejas seperti kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan.

Akhir sekali, beliau berkata Bank Islam mahu melihat lebih banyak langkah dilaksanakan untuk menangani perolehan kerajaan terutamanya cukai, untuk lebih bersedia dalam Bajet 2022 memandangkan kerajaan telah menetapkan sasaran defisit fiskal antara 3.0 hingga 3.5 peratus menjelang 2025 dalam RMK12.

Pada masa hadapan, bank itu menjangkakan aktiviti ekonomi yang lebih rancak berikutan kadar vaksinasi penduduk dewasa telah melebihi 90 peratus dan kebenaran bagi perjalanan rentas negeri seperti yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Oleh itu, keadaan yang akan kembali seperti biasa membawa maksud lebih banyak perniagaan dan individu akan memerlukan pembiayaan tambahan.

"Justeru, kami mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk tumbuh kepada 5.3 peratus pada 2022 berbanding pertumbuhan anggaran 4.2 peratus pada tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 7:04 AM