Syaiful Anuar Bokhari.
Syaiful Anuar Bokhari.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pandemik Covid-19 berterusan menyebabkan pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) hampir lumpuh terutama membabitkan industri pelancongan, perusahaan dan pengangkutan.

Ketua Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Melaka, Syaiful Anuar Bokhari berkata, keresahan ini dirasai kira-kira 48.4 peratus (7.3 juta pekerja) yang mewakili pelbagai perusahaan PKS ketika ini.

Menyedari kesulitan dialami, AKPK menyediakan khidmat nasihat kewangan, pendidikan kewangan dan pengurusan hutang bagi membantu PKS untuk terus bernyawa.

Beliau berkata, antara perkhidmatan ditawarkan termasuk Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) yang juga platform membolehkan PKS dan institusi kewangan mencari jalan penyelesaian dalam pemulihan hutang secara kolektif tanpa perlu melalui tindakan undang- undang.

Katanya, AKPK juga melalui Meja Bantuan PKS menyediakan khidmat nasihat dan pendidikan kewangan secara percuma untuk syarikat-syarikat PKS terkesan.

"Pengusaha PKS dan orang ramai hanya perlu melayari https://services.akpk.org.my/ untuk mendapatkan perkhidmatan AKPK menerusi khidmat nasihat kewangan, pendidikan kewangan dan pengurusan hutang," katanya tadi.

Beliau berkata, antara cabaran yang biasa dihadapi PKS adalah persaingan, kurang pasaran, kualiti produk atau perkhidmatan, trend yang sentiasa berubah dan kos pinjaman perniagaan yang tinggi.

Sehubungan itu, amat penting untuk pengusaha PKS cakna berkaitan pelbagai pakej bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada mereka seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Program Strategik Memperkasa Rakyat & Ekonomi (PEMERKASA) atau Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Syaiful berkata, dari segi pembiayaan, banyak agensi- agensi menawarkan pembiayaan khas untuk PKS semasa pandemik bertujuan membantu dalam menjamin kelangsungan perniagaan mereka.

"Dana-dana berkenaan bertujuan memenuhi pelbagai keperluan PKS dan juga usahawan mikro dalam menggerakkan semula perniagaan selaras dengan pembukaan ekonomi mengikut PPN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 4:47 PM