FAZWINNA (tengah) mendengar penerangan Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Hutan Hujan Pulau Banding Mohd Syaiful Mohammad sebelum menanam pokok gaharu.
FAZWINNA (tengah) mendengar penerangan Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Hutan Hujan Pulau Banding Mohd Syaiful Mohammad sebelum menanam pokok gaharu.
Nor 'Asyikin Mat Hayin

Sebanyak 1,500 pokok gaharu spesies caras atau nama saintifiknya Aquilara malaccensisi ditanam di kawasan Pulau Banding sebagai usaha memelihara dan memulihara kawasan pulau berkenaan.

Aktiviti itu antara insiatif di bawah Yayasan Pulau Banding (YPB) iaitu sebuah pertubuhan yang menggalakkan ekopelancongan dan pembiayaan mampan untuk pemuliharaan hutan hujan.

Ia diadakan sempena ulang tahun ke-10 Belum Conservation Malaysia (BCM) yang disertai beberapa selebriti terkenal termasuk Datuk Yasmin Yusoff, Mizz Nina, Jaclyn Victor, Vince Chong, Elvira dan Art Fazil dari Singapura sebagai Rakan Hutan Belum (BFF).

BFF dan media menanam 300 pokok itu yang disumbangkan seorang dermawan.

BCM terbabit dalam banyak program untuk mempromosikan ekopelancongan, pemuliharaan hutan hujan dan bantuan sosial kepada masyarakat pribumi di Kompleks Hutan Hujan Belum-Temenggor menerusi program di bawah Yayasan EMKAY dan YPB.

Pokok gaharu adalah tumbuhan paling dicari di hutan hujan di negara ini kerana kulit dan damarnya mendapat permintaan tinggi dalam industri farmasi serta kosmetik.

Setiap pokok boleh mengeluarkan 30 mililiter (ml) minyak gaharu di mana setiap 12 ml minyak berkenaan dijual dengan harga RM600.

 TAPAK menanam pokok gaharu.
TAPAK menanam pokok gaharu.

Pengarah Eksekutif Kumpulan EMKAY, Datuk Fazwinna Mustapha Kamal berkata, YPB menetapkan sasaran baru iaitu menanam 2,000 pokok gaharu sebelum penghujung tahun ini.

Beliau berkata, penyertaan selebriti adalah sebagai langkah menarik lebih ramai rakyat Malaysia terbabit secara aktif dalam pemuliharaan hutan hujan ini.

"Inisiatif BFF menawarkan dua pilihan dan ahlinya boleh terdiri daripada pelbagai pihak samada syarikat atau individu.

"Dengan bayaran minimum RM100, BFF boleh memilih untuk menyokong sama ada terbabit dalam program menanam pokok gaharu yang diuruskan YPB atau menyumbang kepada program menjahit pakaian seragam sekolah untuk anak Orang Asli di kawasan Hutan Belum-Temenggor," katanya kepada Nuansa.

Katanya, pakaian seragam sekolah untuk anak Orang Asli dijahit oleh kaum ibu Orang Asli sendiri di bawah program menjahit yang dimulakan oleh Yayasan EMKAY di Kampung Semelor, Pulau Banding untuk memberi mereka peluang menjana pendapatan.

Dalam pada itu Fazwinna berkata, selama 10 tahun pihaknya dan agensi peringkat daerah serta negeri memperjuangkan pembangunan mampan di Belum-Temenggor bersama rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Dana Hidupan Liar Dunia (WWF) dan Persatuan Pencinta Alam Alam Malaysia (MNS).

Justeru, beliau berharap semua rakyat negara ini memberikan sumbangan demi masa depan flora dan fauna Pulau Banding yang diancam kemusnahan akibat sikap tamak manusia.

RAKAN Hutan Belum, Mizz Nina menanam pokok gaharu.
RAKAN Hutan Belum, Mizz Nina menanam pokok gaharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 1:14 PM