MOHD Khairul Azman Mustakim menyusun barangan jualan di kedai miliknya di Senawang.
MOHD Khairul Azman Mustakim menyusun barangan jualan di kedai miliknya di Senawang.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Peruntukan sebanyak RM4.6 bilion bagi usahawan Bumiputera dijangka mampu membantu kelompok ini bangkit semula dan memajukan operasi khususnya dalam era pandemik Covid-19.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk PKS mikro Bumiputera bakal menerima manfaat pembiayaan sebanyak RM510 juta melalui Tekun Nasional dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) manakala RM800 juta menerusi program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Zariyawati Mohd Ashhari berkata, belanjawan kali ini tepat pada masanya bagi membantu PKS yang terkesan akibat Covid-19.

Katanya, 75 peratus peniaga di negara ini terdiri daripada kategori usahawan mikro dan pembiayaan oleh Tekun serta PUNB pastinya dapat memberi modal kepada golongan ini lebih-lebih lagi ramai yang hilang punca pendapatan.

"Masalah yang sering dialami di peringkat usahawan mikro ini kebanyakan mereka tiada sokongan kewangan terutama pembiayaan dan impak pandemik Covid-19 ini boleh menyebabkan mereka tidak mampu bertahan dan terpaksa menutup operasi perniagaan.

"Jika dibantu, usahawan mikro ini secara tidak langsung turut merancakkan industri PKS kerana kebanyakan golongan ini jika tidak ada sokongan pembiayaan mereka akan tersekat," katanya kepada Bisnes Metro, semalam.

Menurutnya, beliau berharap program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank ini mampu menangani masalah pengurusan dan kemahiran berniaga usahawan Bumiputera sekali gus meningkatkan pengeluaran produk berkualiti.

Justeru melalui peruntukan sebanyak RM800 juta oleh SME Bank, bukan saja dapat membantu dari segi pembiayaan pembelian mesin, malah SME Bank turut akan memberi bimbingan dan latihan kepada usahawan.

"Usahawan Bumiputera juga banyak menceburi diri dalam bidang perniagaan ringkas berbanding bukan Bumiputera yang banyak menceburi industri kritikal.

"Oleh itu, dengan bantuan dari SME Bank untuk membantu usahawan Bumiputera dari segi kewangan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu mereka menembusi industri yang lebih kritikal," katanya.

Beliau berkata, dengan bantuan yang disediakan dalam Belanjawan 2021, diharap syarikat Bumiputera boleh seiring dengan bukan Bumiputera dan dapat membantu sama-sama berdaya saing dalam industri ini.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 7:01 AM