PELEKAT Sokonglah Buatan Malaysia dipasang pada rak jualan  di Tesco.
PELEKAT Sokonglah Buatan Malaysia dipasang pada rak jualan di Tesco.
Sri Ayu Kartika Amri


TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco) berada di landasan tepat memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) apabila memberi peluang kira-kira 600 pembekal tempatan membekalkan ribuan produk ke 62 cawangannya di seluruh negara.

Ketua Pegawai Operasi Tesco, Sushmita Paul berkata, terkini Tesco menempatkan lebih 100 pembekal PKS tempatan di cawangan sedia ada yang menawarkan produk antaranya pes masakan, produk kecantikan, pembersih rumah dan manisan.

Katanya, selain itu, Tesco turut mengambil inisiatif dengan mengetengahkan pembekal tempatan melalui Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) peringkat Selangor.

"Tesco tidak asing dengan kempen Beli Barangan Malaysia dan mengambil bahagian dalam inisiatif pemerkasaan ekonomi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDNHEP) ini sejak beberapa tahun lalu.

"Bagaimanapun, kempen tahun ini lebih bermakna memandangkan ekonomi negara terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Bukan rahsia lagi kami di Tesco sudah lama menjadi penyokong produk dan pembekal tempatan," katanya di pelancaran Program Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Selangor Tahun 2020 bersama Tesco di sini.

Hadir sama, Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Sushmita berkata, sebanyak 84 peratus penjualan yang dihasilkan untuk Barangan Jenama Tesco pada tahun kewangan akhir 2019 disumbangkan oleh produk buatan tempatan.

"Ini bermakna ada permintaan dan kepercayaan terhadap produk buatan tempatan yang setara atau lebih baik daripada jenama antarabangsa," katanya.

Mneurutnya, Tesco turut membawa masuk tiga lagi PKS baharu ke seluruh cawangan Tesco.

"Tiga PKS baharu ini adalah sebahagian daripada KBBM kami yang telah melalui beberapa peringkat penilaian dan membuktikan bahawa mereka setanding dari segi kualiti untuk bersaing dengan jenama terkenal.

"Kami percaya bahawa dengan peningkatan berterusan terhadap kualiti produk, pembungkusan dan harga mampu milik, jenama produk tempatan ini juga suatu hari akan terkenal di seluruh dunia," katanya.

Sejajar itu, Tesco juga mengadakan Bazar Bangkit Bersama untuk meraikan organisasi yang sudah bertungkus-lumus membantu golongan kurang bernasib baik.

Ia diadakan pada tiga hujung minggu berlainan, dengan yang pertama bermula pada 15 dan 16 Ogos 2020 di Tesco Extra Mutiara Damansara, diikuti oleh Tesco Bukit Mertajam (22 dan 23 Ogos) dan Tesco Bukit Indah (28 dan 29 Ogos).

Melalui usaha ini, orang ramai dapat menyokong organisasi terbabit melalui pembelian mereka, yang akan digunakan untuk memberi manfaat kepada golongan kurang mampu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 7:29 AM