BERKEMBANG ke sektor pemasangan mesin untuk industri minyak dan gas.
BERKEMBANG ke sektor pemasangan mesin untuk industri minyak dan gas.
Nurul Husna Mahmud


PETRONAS selaku pelabur terbesar dalam Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) mengambil inisiatif membangun komuniti penduduk sekitar Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Johor menerusi penubuhan koperasi.

Antaranya Koperasi Pengerang Jaya Johor Berhad (KOPEJA) yang ditubuhkan anak tempatan Pengerang sendiri menerusi Pengerusinya Zebree Hashim sejak 2014. Koperasi itu turut menceburi lapangan teknikal dalam industri minyak dan gas.

Kata Zebree, menerusi dua anak syarikatnya, KOPEJA Oil & Gas dan KOPEJA Supply & Services Sdn Bhd, perniagaan diusahakan koperasi itu semakin berkembang, sekali gus memberi manfaat kepada 500 ahli.

Semua anggota koperasi itu adalah penduduk dari tujuh kampung terbabit dalam pemindahan ketika pembinaan PIC dahulu.

"Mula operasi secara rasminya pada 2015 apabila menerima tawaran Petronas untuk membuka stesen minyak terutama diesel kepada lori yang keluar masuk PIC," katanya.

Kata Zebree, pembabitan KOPEJA dalam bidang teknikal minyak dan gas, satu model perniagaan baharu bagi koperasi apatah dirinya sendiri.

Biarpun memiliki pengalaman dalam bidang teknikal menerusi kerjaya sebagai kontraktor tempatan, tetapi teknologi serta laras bidang itu beraras tinggi.

"Apabila bekerjasama dengan organisasi besar dan mempunyai etika korporat, secara tidak langsung mendedahkan tertib kerja baharu.

KOPEJA berkembang bermula dengan perusahaan stesen minyak dalam PIC.
KOPEJA berkembang bermula dengan perusahaan stesen minyak dalam PIC.

"Awal dahulu saya perlu mengupah Pegawai Kesihatan dan Keselamatan, Rifaie Sabar untuk pantau aspek keselamatan stesen minyak dalam kawasan PIC, kini saya mengupah pula dua pakar teknikal membantu dalam 'on site machining'," katanya.

Kata Rifaie, majikannya itu amat mengutamakan anak tempatan dalam peluang pekerjaan di koperasi itu.

"Senarai pekerja 30 profesional atau mahir, 50 peratus adalah orang luar kerana kepakaran diperlukan tiada dalam kalangan anak tempatan.

"Tetapi, tenaga mahir adalah terdiri daripada anak-anak Pengerang sudah mula berebut peluang menguasai kerja dalam industri itu terutama dalam pemasangan mesin yang berteknologi tinggi.

ZEBREE (kiri) dan Rifaie sentiasa berusaha tingkatkan perniagaan KOPEJA demi kepentingan kira-kira 500 anggota.
ZEBREE (kiri) dan Rifaie sentiasa berusaha tingkatkan perniagaan KOPEJA demi kepentingan kira-kira 500 anggota.

"Sekurang-kurangnya dengan kemahiran dimiliki mereka berpeluang untuk pergi jauh dengan KOPEJA yang turut terbabit dalam kerja pemasangan hingga ke luar negara seperti Brunei," katanya.

Satu lagi koperasi dibangunkan daripada komuniti setempat, Koperasi Pemuafakatan Lepau Berhad (KOLEPAU) bertanggungjawab dalam menjaga ruang landskap pokok buah-buahan dalam PIC.

Menurut pengerusinya yang juga Ketua Kampung Lepau, Zainol Abidin Abdul Rahim, satu kebaikan dinikmati penduduk salah satunya peluang pekerjaan apabila 'berjiran' dengan kompleks terbabit.

"Koperasi kami bertanggungjawab menjaga 300 pokok ditanam di lima zon sekitar PIC antaranya di The Hive Orchard, surau The Hive, Meet Halls, pintu masuk The Hive dan kawasan gelanggang tenis.

"Cabarannya ialah untuk pastikan pokok buah sedia ada ditanam oleh pengarah dan tetamu kehormat terus subur dalam kawasan ini yang sedia maklum tanahnya kurang subur untuk tanaman," katanya.

PEMBABITAN KOPEJA dalam bidang teknikal minyak dan gas.
PEMBABITAN KOPEJA dalam bidang teknikal minyak dan gas.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd, Izzuddin A Ghani berkata, pihaknya sentiasa membuka peluang perniagaan dan pekerjaan buat warga tempatan.

"Seperti kita sedia maklum PIC adalah projek mega yang memerlukan pelbagai perkhidmatan sokongan bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan lancar.

"Keperluan itu secara langsung membuka pelbagai peluang perniagaan serta pekerjaan kepada masyarakat dan kami di Petronas menginginkan mereka terutama penduduk kampung berhampiran meraih peluang meningkatkan taraf sosioekonomi.

"Inisiatif berkenaan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Petronas menitik beratkan aspek pendidikan, alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 6:20 AM