KOMPLEKS Bersepadu Pengerang. FOTO IHSAN BOMBA
KOMPLEKS Bersepadu Pengerang. FOTO IHSAN BOMBA
Nurul Amanina Suhaini


INSIDEN kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) Kota Tinggi, 15 Mac lalu, tidak menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menerusi kenyataan berkata, kejadian membabitkan kemudahan Diesel Hydrotreating Unit di Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) itu tidak menyebabkan pencemaran alam sekitar di kawasan yang terbabit.

“Siasatan yang dijalankan mendapati tiada pencemaran dan tidak memberi kesan kepada penduduk dan orang awam berhampiran,” katanya.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan PETRONAS dan pihak berkuasa berkaitan.

“Pasukan Emergency Response Team (ERT) PETRONAS RAPID Pengerang sudah diaktifkan serta-merta ke lokasi kejadian dan kebakaran sudah padam sepenuhnya,” katanya.

Menurut JAS, pemantauan lanjut kualiti udara oleh JAS dijalankan di sekitar kawasan premis iaitu di Gate 2 PIC, Gate 3 PIC, Kampung Lepau dan Kuarters Guru Pengerang, Kota Tinggi.

“Kawasan penerima sensitif yang terhampir ialah Kampung Lepau. Anggaran jarak Kampung Lepau ke lokasi kejadian adalah 2.17 kilometer.

“Pemantauan kualiti udara ke atas pencemar udara dan gas organik meruap (volatile organic gases) mendapati bacaan adalah di bawah tahap yang boleh diterima dan selamat.

“Pihak PETRONAS turut menjalankan pemantauan kualiti udara di kawasan sempadan di sekitar dan mendapati tiada gas merbahaya atau gas hidrokarbon dikesan dan pemantauan kualiti udara diteruskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 3:06 PM