APAN bersama anak bongsunya berusia enam bulan.
APAN bersama anak bongsunya berusia enam bulan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Penulis tidak dapat membayangkan kepayahan dilalui masyarakat Orang Asli Kampung Rakoh di Pos Lejang, Kuala Lipis, Pahang berjalan sejauh 40 kilometer yang mengambil masa selama satu hari untuk ke jalan utama.

Walaupun penulis ke kampung terbabit menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama Empire Project (EP), Auntie Brigade, SMUUTA Team 4 x 4, Bentong Treker dan KLAU 4X4, sedikit ‘kesukaran’ untuk masuk dan keluar dari kampung berkenaan dirasai.

Kunjungan penulis bersama rombongan ke kampung terbabit dalam keadaan cuaca baik (dua hari tidak hujan) tapi ada bahagian laluan mencabar apabila melalui tanah lembik, becak dan permukaan tanah tidak rata hingga membuatkan penulis ‘melambung’ dalam kenderaan itu.

Inikan pula jika cuaca hujan sepanjang hari, mungkin diri (masyarakat Orang Asli) ‘bermandi’ lumpur tanah merah sepanjang meredah laluan berkenaan.

Itu realiti kehidupan yang ditempuh masyarakat terbabit setiap kali musim tengkujuh untuk keluar ke kedai bagi membeli makanan.

ORANG Asli jalan kaki meredah laluan ini biarpun musim tengkujuh.
ORANG Asli jalan kaki meredah laluan ini biarpun musim tengkujuh.

Tambahan pula jika sumber makanan di rumah termasuk hasil tanaman seperti ubi dan pisang sudah kehabisan.

Ini kerana keadaan jalan ‘off road’ di kampung berkenaan bertukar menjadi teruk dan sukar dilalui menggunakan kenderaan termasuk motosikal pada musim berkenaan.

Namun, demi mengisi perut sendiri dan anak di rumah yang kelaparan, mereka tetap menggagahkan diri untuk keluar ke sana.

Penduduk, Apan Mawayari, 43, berkata, situasi itu juga umpama ‘alah bisa tegal biasa’ buat mereka kerana tiada pilihan lain.

“Jika tidak keluar, mungkin kami sekeluarga mati kelaparan. Tidak sampai hati melihat anak mengadu kelaparan.

“Sudah menjadi kebiasaan pada musim tengkujuh kami kelaparan kerana kekurangan sumber makanan.

“Jika tiada beras, kami hanya bergantung dengan ubi dan pisang tapi terpaksa menyukat penggunaan setiap hari supaya bekalan ini dapat bertahan lama,” katanya.

Dia yang mempunyai 10 anak berkata, suaminya Bahsud Salleh, 45, hanya bekerja kampung dan pendapatannya juga terjejas pada musim berkenaan menambahkan sedikit kepayahan hidup mereka.

ROMBONGN kenderaan pacuan empat roda memasuki Kampung Rakoh.
ROMBONGN kenderaan pacuan empat roda memasuki Kampung Rakoh.

“Kadang-kadang suami menangkap ikan di Sungai Jerai di tepi kampung ini tetapi pada musim tengkujuh, ikan juga berkurangan.

“Terdapat beberapa jenis spesies ikan dalam sungai ini seperti kelah, tengas, daun dan baung.

“Ada juga penduduk terpaksa menahan lapar hingga dua hari sebelum memperoleh bekalan makanan,” katanya.

Katanya, terdapat juga peraih luar datang menghantar barangan keperluan di sini tapi perkhidmatan itu jarang dapat ada apabila musim tengkujuh.

Apan berkata, terdapat kira-kira 30 rumah penduduk di kampung itu yang kebanyakan menoreh getah dan menanam padi bukit sebagai punca pendapatan.

“Sebaliknya jika musim hujan, penduduk mencari buluh dan rotan sebagai pekerjaan alternatif untuk mendapatkan pendapatan.

“Lazimnya, isteri akan membantu suami bekerja tapi bukan dirinya kerana mempunyai anak kecil berusia enam bulan,” katanya.

SUKARELAWAN memberi makanan ringan kepada kanak-kanak Orang Asli.
SUKARELAWAN memberi makanan ringan kepada kanak-kanak Orang Asli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 12:32 PM