ZAHARAH Raishan.
ZAHARAH Raishan.
Intan Mas Ayu Shahimi

Menggelarkan dirinya sebagai pengemis profesional, wanita ini tidak pernah jemu mendekati kelompok miskin bandar, ibu tunggal, mangsa dera, pesakit kanser, gelandangan, warga emas, orang kurang upaya (OKU) atau sesiapa saja yang memerlukan bantuan ikhlasnya.

Ternyata cinta Zaharah Raishan Mohd Yassin, 48, pada kerja amal selalu mekar dalam jiwa. Mesra dengan panggilan

Rai dalam kalangan sukarelawan dan masyarakat setempat,

wanita ini sentiasa komited memastikan badan amal Free Market Johor yang diketuai sejak 2015 membawa manfaat besar buat golongan memerlukan.

Lebih selesa bergerak sebagai aktivis sosial, Zaharah Raishan menjadikan pengalaman di sektor korporat sebagai landasan kukuh untuk memberi yang terbaik kepada golongan sasar. Tujuannya hanya satu, iaitu mengharapkan amalan baiknya diterima Allah.

“Sebenarnya, dulu saya pernah berkhidmat sebagai pengurus besar di sebuah anak syarikat milik Johor Corporation. Kemudian, saya berhenti dan melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana.

“Belum pun tamat pengajian, saya sudah memikirkan perancangan seterusnya. Saya mula mencari apa yang boleh dilakukan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Kebetulan saya terbaca berkenaan konsep ‘free market’ dan akhirnya menyertai Free Market Johor yang diasaskan seorang kenalan,” katanya.

Menurut Zaharah Raishan, banyak dugaan dan kesukaran dihadapi ketika mula berjinak-jinak dengan dunia kebajikan berikutan tiada pengalaman mengutip dan menguruskan sumbangan. Namun, semua pengalaman itu kekal menjadi kenangan paling berharga dalam hidup.

“Saya bertatih sejak penghujung 2015. Kemudian pengasas Free Market Johor berpindah ke utara tanah air. Berbekalkan semangat dan minat mendalam, saya gagahkan diri untuk mengetuai badan amal ini dengan sokongan ramai sukarelawan.

“Kami adakan kumpulan perbincangan menggunakan aplikasi WhatsApp dan sentiasa mengemas kini sumbangan yang diterima daripada mana-mana pihak.

“Alhamdulillah, hari ini kami semakin dikenali. Banyak aktiviti sosial, kebajikan dan kemasyarakatan kita jalankan secara bersama. Untuk diri saya, selain bergerak seiring sukarelawan lain, saya juga mengatur banyak inisiatif kebajikan sendiri.

“Saya percaya, ada ramai orang yang tersepit dalam hidup dan mereka memerlukan pendekatan berbeza untuk dibantu, khususnya membabitkan golongan miskin bandar dan mualaf,” katanya.

AGIHAN barang kelengkapan dapur untuk komuniti setempat terpilih.
AGIHAN barang kelengkapan dapur untuk komuniti setempat terpilih.

Kata Zaharah Raishan, lebih senang melihat setiap individu daripada perspektif berbeza. Kelompok susah baginya bukanlah asnaf semata-mata. Di bandar besar, ada banyak keluarga bergelut meneruskan kehidupan seharian. Mereka memendam rasa kerana tidak ramai yang cuba memahami.

“Sebilangan mereka hilang tempat mengadu dan takut untuk tampil ke depan kerana bimbang dengan pandangan masyarakat setempat. Keadaan itulah mendorong saya untuk melihat sendiri kehidupan di kawasan flat, kampung dan celah bandar.

“Saya akan pergi untuk mendapatkan maklumat berkenaan taraf hidup masyarakat di kawasan berkenaan, menilai sendiri berapa banyak keluarga yang perlu diberikan perhatian dan menyelami nasib anak di sana.

“Berdasarkan maklumat ketua penduduk, kami akan uar-uarkan kutipan sumbangan menerusi platform media sosial. Hasilnya nanti, kita akan beli dan bawa barang keperluan ke lokasi dikenal pasti sebelum diagihkan kepada yang memerlukan,” katanya.

Ironinya, kata Zaharah Raishan, ada penduduk bandar dengan gaji mencecah RM3,000 pernah tersenarai dalam kalangan keluarga yang perlu dibantu. Mereka ini tersepit di celah jurang kemiskinan selain faktor tanggungan ramai.

“Kadang-kadang, bila saya berkunjung ke rumah flat, ada yang ‘menyumbat’ lebih 10 orang. Anak mereka berkeliaran sekitar kawasan perumahan. Ada yang melihat ibu bapa sendiri mengambil dadah di tepi tangga, minum arak dan berjudi.

“Ada juga yang lebih malang apabila dirogol saudara sendiri. Daifnya mereka bukan dari sudut mengatur hidup saja, tetapi segala-galanya. Untuk diri saya, memadai jika pertolongan yang dihulur bersambut dengan senyuman dan ucap terima kasih.

“Banyak kelompok sebegini saya bantu secara diam-diam kerana mereka tidak percaya kepada orang sekeliling dan takut untuk berdepan dengan masyarakat. Bagi yang kesempitan, saya cukup gembira apabila dapat menyampaikan bantuan ke tangan mereka.

“Kadang-kadang saya terima mesej terima kasih kerana melengkapkan keperluan dapur. Ada yang beritahu, mujur mereka dapat bantuan. Jika tidak, berminggu-minggu lagi makan nasi dengan garam. Bayangkan bagaimana perasaan puas itu datang. Sukar hendak digambarkan dengan kata-kata. Kita ingat zaman gaul garam dengan nasi ini sudah luput, namun sebenarnya masih wujud,” katanya.

PEMERIKSAAN kesihatan percuma dengan kerjasama penaja.
PEMERIKSAAN kesihatan percuma dengan kerjasama penaja.

Nikmat nasi ayam

Bercerita berkenaan program Free Canteen pula, Rai berkata, dia selalu sebak melihat gelagat murid dan pelajar sekolah yang bersungguh-sungguh menikmati hidangan disediakan.

“Untuk program ini, saya selalunya pergi ke sekolah dan berjumpa sendiri guru besar atau guru penolong kanan. Saya akan beritahu mereka niat kita memberi makanan sihat secara percuma kepada murid yang terpilih.

“Memang kadang-kadang ada sekolah yang menolak kerana bimbang wujud pengaruh politik. Tapi Free Market Johor adalah badan amal berkecuali. Kita akan dapatkan senarai nama murid yang layak dan sediakan hidangan sihat yang lengkap seperti nasi ayam.

“Program ini berlangsung pada waktu rehat saja kerana kita tidak mahu mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Selain nasi dan minuman, kita juga sediakan beg cenderahati mengandungi roti, biskut, susu kotak dan alat tulis, bergantung kepada sumbangan orang ramai,” katanya.

Kata Zaharah Raishan, tiba masa makan, dia suka melihat satu per satu wajah anak yang berselera menikmati hidangan. Pernah sekali dia cuba mendekati seorang murid dan terkedu apabila diberitahu, itulah nasi ayam pertama dalam hidupnya.

“Tidak henti murid ini memuji sedap. Ditanya apa yang biasa dimakan di rumah, dia cuma jawab nasi dan kicap. Selain murid, kita juga berikan sedikit sumbangan wang tunai untuk dimasukkan ke dalam tabung sekolah.

“Duit ini mungkin boleh digunakan untuk membantu murid menjelaskan yuran kelas atau aktiviti yang tidak mampu dibayar. Jadi, cikgu boleh ambil dari tabung mengikut kesesuaian,” katanya.

MURID menikmati hidangan Free Canteen.
MURID menikmati hidangan Free Canteen.

Begitu juga halnya dengan projek Pasar 20 Sen yang diadakan khusus untuk penghuni Rumah Seri Kenangan Johor Bahru. Kata Zaharah Raishan, dia dan anggota sukarelawan lain memang teruja setiap kali menganjurkan program ini untuk warga emas di pusat jagaan berkenaan.

“Di rumah ini ada lebih kurang 400 penghuni. Namun, hanya sebahagian kecil saja yang masih boleh bergerak aktif dan menjalani kehidupan normal. Mereka ini memang sukakan suasana pasar malam dan hiruk-pikuk membeli di luar.

“Bagaimanapun, mengambil kira faktor umur dan kesihatan mereka, kita adakan Pasar 20 Sen untuk menggembirakan warga emas di sini. Kita pilih barang yang sinonim dengan kehidupan mereka dulu seperti biskut timbang, keleng­kapan diri orang dulu-dulu, sejadah, kopiah, telekung dan pelbagai barang lain. Semuanya dijual pada harga 20 sen.

“Duit hasil jualan ini nanti kita akan kira beramai-ramai dan umumkan secara terbuka sebelum diserah kepada pihak pengurusan rumah jagaan untuk menampung perbelanjaan program mereka kelak,” katanya.

PASAR 20 sen untuk penghuni Rumah Seri Kenangan.
PASAR 20 sen untuk penghuni Rumah Seri Kenangan.

Kenangan anak kanser

Suatu hal yang cukup menarik dalam perjalanan amal Rai adalah projek Gambar Anak Syurga Wad 8C, Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru yang pernah tular di media sosial Ogos lalu.

Projek dengan kerjasama tiga jurugambar itu mendapat perhatian netizen kerana mengetengahkan wajah pesakit kanser dan penderita masalah buah pinggang kanak-kanak yang dirawat di HSI.

“Ini adalah projek Mei lalu. Kami cuba memenuhi impian dan inspirasi anak kecil yang mahu bergambar dengan kostum mereka pilih sendiri. Mereka ini terdiri daripada pesakit kritikal dan mempunyai harapan tipis untuk sembuh.

FOTO impian Sofea yang menghidap kanser darah sejak April 2016.
FOTO impian Sofea yang menghidap kanser darah sejak April 2016.

“Objektif paling utama adalah untuk menimbulkan kesedaran awam terhadap pesakit kanser cilik. Kita juga nak beri semangat kepada golongan yang disahkan kanser supaya jangan pernah gentar untuk terus melawan penyakit.

“Saya berkongsi rentetan kisah anak-anak ini pada setiap gambar untuk dijadikan penguat semangat. Dalam masa sama, kita mahu cipta kenangan indah buat anak-anak istimewa ini dan keluarga mereka.

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka ia tular dan akhirnya menghimpunkan banyak doa yang baik daripada pembaca. Sedikit sebanyak, ia juga menjadi penguat semangat buat ibu yang kehilangan anak tersayang,” katanya .

MIFZAL yang menghidap leukemia Pre B All .
MIFZAL yang menghidap leukemia Pre B All .

Itu pun, kata Zaharah Raishan, masih ramai yang bertanya bagaimana dia mendapat sumbangan untuk setiap kerja sukarela yang dilakukannya bersama rakan dan sukarelawan lain.

“Saya selalu percaya kepada rezeki. Banyak kali saya pernah buntu kerana dana tidak mencukupi, namun Allah selalu menghadirkan orang yang bermurah hati untuk membantu. Ada masanya, saya tidak kenal mereka siapa. Tetapi saya bersyukur dan selalu menghargai tangan-tangan yang menghulur, meringankan kerja sukarelawan kami di Free Market Johor,” katanya.

PESAKIT kanser dan buah pinggang kanak-kanak ketika penggambaran di Hutan Bandar Johor Bahru.
PESAKIT kanser dan buah pinggang kanak-kanak ketika penggambaran di Hutan Bandar Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 9:30 AM