BOT yang dinaiki peserta.
BOT yang dinaiki peserta.
GOTONG-ROYONG yang dilakukan.
GOTONG-ROYONG yang dilakukan.
Fazurawati Che Lah


Menyusuri Sungai Rambai, Melaka dengan menaiki bot nelayan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan 45 penuntut politeknik ketika mengikuti Program Anak Angkat dan Khidmat Masyarakat di sungai berkenaan.

Program inisiatif yang dilaksanakan Politeknik Merlimau Melaka (PMM) itu mendapat penyertaan daripada 10 Politeknik di seluruh Malaysia.

Dilaksanakan selama dua hari, ia turut mendapat kerjasama Eksplorasi Budaya UNESCO-Melaka 2018 (EKSCOME 2.0).

Menurut Pegawai Kebudayaan Politeknik Merlimau, Siti Zahrah Salihan, objektif utama program itu adalah untuk memberi pendedahan kepada pegawai, pensyarah dan penuntut berkenaan pembangunan kebudayaan.

Katanya, pembangunan kebudayaan adalah agenda nasional dalam mempertingkatkan pendapatan negara melalui sektor pelancongan.

“Program dimulakan dengan beberapa aktiviti seperti gotong-royong sekitar Sungai Rambai dan penyerahan pelajar kepada keluarga angkat masing-masing yang membabitkan 20 keluarga.

“Lebih mengujakan peserta dapat merentasi Sungai Rambai menuju Jeti Kesang Laut yang membabitkan tiga bot nelayan dan satu bot laju.

“Peserta menaiki bot bersama keluarga angkat dan bebas melakukan aktiviti bersama,” katanya.

Katanya, pada hari kedua, beberapa aktiviti dilaksanakan antaranya menunaikan solat Subuh berjemaah diikuti tazkirah, senamrobik, taklimat keselamatan di Balai Polis Sungai Rambai, sukaneka dan seterusnya Majlis Penutup yang disempurnakan Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 3:00 PM