FLY & DROP antara segmen aktiviti tali tinggi.
FLY & DROP antara segmen aktiviti tali tinggi.
KEBERANIAN diri menjadi aspek penting ketika melakukan aktiviti tali tinggi.
KEBERANIAN diri menjadi aspek penting ketika melakukan aktiviti tali tinggi.
ARUS deras menjadi cabaran ketika ‘wet abseiling’.
ARUS deras menjadi cabaran ketika ‘wet abseiling’.
Hafiz Ithnin


Mengembara ratusan kilometer (km) dari kawasan bandar bukan perkara asing, malah untuk mencari lokasi terbaik ada juga yang sanggup meredah laluan denai.

Ada kalanya laluan denai itu berlumpur, berlopak dan jika menggunakan pacuan empat roda, sudah menjadi perkara biasa apabila tersangkut di tengah jalan serta perlu ditarik kenderaan di depan.

Apabila tiba di lokasi yang dicari, rasa puas dan damai sukar digambarkan. Apatah lagi ‘bau’ hutan, nyanyian unggas, keletah rakan dan deruan arus deras sungai yang jarang diusik pula memanggil-manggil untuk mencabar keberanian diri.

Bukan berenang atau paling biasa berlawan gaya terjun tiruk, tapi mendaki tebing tinggi tempat mengalirnya arus sungai. Mencabar bukan?

Mendaki tebing tinggi di kawasan air terjun berarus deras antara aktiviti tali tinggi atau yang hampir sinonim dengannya iaitu ‘canyoning.’

Aktiviti tali tinggi tidak terhad dilakukan di kawasan darat seperti tebing batu bukit atau gunung. Malah turut dipraktikkan di kawasan terdapat air terjun untuk aktiviti ekstrem.

Malaysia sememangnya kaya dengan lokasi air terjun yang jumlahnya juga mungkin tidak dapat dihitung. Lebih menarik setiap air terjun dalam Malaysia mungkin kita boleh mengkategorikannya sama ada untuk aktiviti santai bersama keluarga atau lasak.

Bagi aktiviti tali tinggi di kawasan air terjun, ia selalunya dilakukan di kawasan yang ada kolam dalam kerana supaya peserta boleh menunjukkan aksi ‘terjunan’ atau ‘mendarat’. Secara logiknya, jika terjun atau mendarat ke dalam kolam yang dalam, tentunya risiko kemalangan dapat dikurangkan.

Dalam kalangan penggemar aktiviti tali tinggi di kawasan air terjun, biasanya memilih ke lokasi yang jarang menjadi tumpuan serta terdapat tempat berkhemah.

Biasanya, kawasan seperti ini sudah diterokai lebih awal oleh operator yang menawarkan aktiviti tali tinggi kepada pelancong atau pengembara untuk memudahkan mereka membuat persediaan atau memasang sistem tali yang diperlukan.

Ia membabitkan menuruni tebing air terjun menggunakan tali (wet abseiling), terbang kelawar (flying fox) dan meranduk sungai.

Aspek keselamatan sememangnya tidak boleh diketepikan kerana ia berisiko tinggi dan terdedah kepada kemalangan.

Disebabkan itu, biasanya aktiviti tali tinggi itu dikendalikan operator yang mempunyai sijil dan kemahiran.

Selain perlu mahir memasang dan mengikat tali, memilih lokasi terjunan sesuai dan jenis tali sesuai serta menyediakan kelengkapan keselamatan kepada peserta.

Antara kelengkapan keselamatan penting bagi melakukan aktiviti tali tinggi di kawasan air terjun ialah jaket apungan, sarung tangan dan topi keledar untuk rekreasi.

Sedikit berkenaan teknikal aktiviti ketika ‘wet abseiling’ umpamanya, peserta akan menyarung abah-abah yang mempunyai sistem tali keselamatan ditambat dengan pencangkuk (hanger) kukuh sementara pengawal tali (belayer) pula bersedia di bawah untuk memastikan keselamatan peserta ketika menuruni tebing batu.

Sistem tali berkenaan turut membolehkan peserta mengawal tali sendiri untuk turun. Dalam kata lain, tali itu membantu peserta mengawal kelajuan atau menghentikan pergerakan ketika turun.

Selain itu, ada juga antara operator yang menawarkan aktiviti ‘fly & drop’ iaitu secara teknikalnya, tali akan dipasangkan antara dua pokok merentasi kolam seperti pemasangan tali untuk aktiviti flying fox.

Bezanya, fly & drop memerlukan peserta melepaskan anduh (sling) yang dipaut di bahagian penghenti (stopper) di tengah-tengah atau bahagian sesuai untuk menghentikan pergerakan ketika meluncur ke arah pokok lebih rendah. Seterusnya, menjatuhkan diri ke dalam kolam.

Difahamkan harga ditawarkan operator antara RM40 hingga RM250 seorang. Ia bergantung kepada pakej (khemah, makanan, pengangkutan dan peralatan untuk aktiviti tali tinggi), jumlah hari dan lokasi.

Antara operator yang mempunyai sijil kemahiran dalam aktiviti tali tinggi termasuk Malaysian Backpackers, NY Adventure & Consultant, Trods Adventure dan Pakatan Bejalan.

Sebenarnya, aktiviti tali tinggi bukan sekadar aktiviti ekstrem tapi ia juga sebuah ‘pakej’ pelancongan alam yang sangat menarik untuk dilakukan.

Ini kerana bukan setakat bermain tali, malah peserta juga dapat bermalam sambil berpeluang merasai pengalaman menikmati kelangsungan hidup di hutan.

Lebih menarik jika aktiviti sebegini membabitkan keluarga kerana difahamkan mereka yang berusia 12 tahun ke atas dibenarkan untuk mencuba aktiviti tali tinggi.

Dalam apa jua keadaan, anda perlu utamakan keselamatan dan jika ingin mencuba aktiviti tali tinggi ini anda dinasihatkan melakukannya bersama mereka yang mempunyai kemahiran serta pengalaman.

Cabar diri anda dengan aktiviti tali tinggi!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 12:23 PM