IWANA Aisyah (kiri) dan rakan pengajian bersama salah seorang pensyarahnya.
IWANA Aisyah (kiri) dan rakan pengajian bersama salah seorang pensyarahnya.
Oleh Murnaena

Muhammad Nasir

BEGITU mencintai ilmu al-Quran membuatkan dirinya terpanggil memanfaatkan sepenuhnya media sosial sebagai platform menyebarkannya dengan lebih meluas.

Walaupun berdepan tugasan pengajian dan jadual kelas yang padat, Iwana Aisyah Ab Halim, 24, tidak pernah jemu memuat naik perkongsian ilmu al-Quran terutama di Facebook miliknya.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Takhasus Qiraat di Universiti al-Azhar Kaherah, Mesir ini turut mewujudkan kumpulan Telegram kendaliannya sendiri yang kini mencecah 5,000 pengikut.

Selain ilmu dan tip mudah menghafal al-Quran, hafizah berjiwa besar ini juga suka berkongsi kisah teladan melalui pengalamannya atau perkongsian gurunya dengan gaya penulisan yang tersendiri.

"Kewujudan Telegram itu bagi memudahkan pengikut di Facebook mahupun Instagram saya mengakses setiap penulisan.

"Sejak dulu lagi sebenarnya saya suka berkongsi ilmu bermanfaat menerusi penulisan kerana saya ingin mengajak masyarakat mencintai al-Quran, membaca dan mengamalkannya," kata anak sulung dari tiga beradik itu.

Berkongsi mengenai pengalamannya sepanjang tiga tahun berada di bumi para anbiya' itu, Iwana Aisyah mengakui budaya penduduknya jauh berbeza untuk dibandingkan dengan negara sendiri.

"Apa yang menarik di Mesir adalah majoriti kedai-kedai di sini memasang aluan ayat al-Quran setiap masa.

"Walaupun hanya bekerja sebagai penjual sayur tetapi menghafaz al-Quran 30 juzuk, itu sangat biasa di sini membuatkan saya begitu kagum.

IWANA Aisyah (kiri) adalah anak sulung dari tiga beradik.
IWANA Aisyah (kiri) adalah anak sulung dari tiga beradik.

"Rakyat Mesir mencintai al-Quran dan sentiasa membacanya walaupun ketika menunggu tren sehingga budaya itu turut menjadi ikutan pelajar Malaysia," katanya.

Mengenai latar belakang pendidikan yang dimilikinya, Iwana Aisyah berkata, dia adalah penerima biasiswa penuh Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) JAKIM 2019 hingga kini.

"Saya memilih bidang ini kerana negara kita kekurangan wanita yang pakar dalam bidang Qiraat terutamanya.

"Impian saya ingin membawa al-Quran ke medan masyarakat dan ingin mengajak lebih ramai tidak kira latar belakang untuk mencintai dan mengamalkan isi kandungannya.

"Disebabkan itu, saya memilih menyambung pengajian di Mesir walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga demi menuntut ilmu," kata anak jati Kelantan Darul Naim itu.

Iwana Aisyah berkata, sama seperti pelajar luar negara lain, dia mengakui juga tidak terlepas dengan cabaran dari segi memahami bahasa yang digunakan kerana rata-rata menggunakan bahasa pasar.

"Dari segi cuaca mahupun makanan tidaklah menjadi cabaran utama. Rakyat Malaysia yang sambung pengajian di Mesir ada lebih kurang 11,000 orang.

IWANA Aisyah melanjutkan pengajian dalam bidang Takhasus Qiraat di Mesir.
IWANA Aisyah melanjutkan pengajian dalam bidang Takhasus Qiraat di Mesir.

"Ada diantara mereka yang minat berniaga dan akan buka kedai makan seperti nasi lemak, nasi kerabu dan keropok lekor.

"Walaupun rasanya tidak setanding seperti menikmatinya di Malaysia, bolehlah untuk lepas rindu," katanya.

Iwana Aisyah turut memberitahu dia menjadikan Profesor Syeikh Dr Isa Al-Ma'sarawy dan Armahum Tan Sri Dato' Haji Hassan Azhari sebagai idolanya dalam ilmu al-Quran.

Baginya, kedua-dua tokoh yang disegani di Mesir dan Malaysia ini mempunyai latar belakang yang begitu hebat dan turut memberi sumbangan besar kepada kemajuan Islam.

Berkenaan perancangan masa depan pula, dia kini dalam proses menerbitkan buku keduanya bertajuk Ahli al-Quran kah aku?

"Saya akan pulang ke Malaysia selewat-lewatnya Oktober tahun ini dan berharap keputusan akhir tahun kali ini cemerlang serta 'graduate on time'.

"Agak sedih juga difikirkan akibat pandemik Covid-19, saya tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya tempoh pengajian saya di sini terutama mendalami lebih banyak ilmu dan sejarah Islam kerana lebih banyak masa duduk di hostel," katanya.

Di akhir perbualan bersama penulis, Iwana Aisyah berkata, dia bersyukur sudah tiga tahun konsisten menulis dan berkongsi di Facebook.

"Doakanlah saya menjadi manusia yang memberi manfaat buat ummah," katanya menutup bicara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 7:00 AM