SAKIT pinggang adalah petanda awal masalah cakera tergelincir.
SAKIT pinggang adalah petanda awal masalah cakera tergelincir.
DR SALLEHUDDIN menunjukkan bahagian tulang belakang manusia.
DR SALLEHUDDIN menunjukkan bahagian tulang belakang manusia.
Siti Zarinah Sahib

Maznah, 35, tidak tahu mengapa sejak dua minggu kebelakangan ini dia mengalami kesakitan pada bahagian belakang. Kadang-kadang kesakitan itu dirasai sehingga ke pinggang dan menjalar ke paha dan kaki. Akibatnya dia langsung tidak boleh melakukan kerja rumah, termasuklah mendukung anak kecilnya yang baru berusia dua tahun.

Sebelum ini dia tidak pernah mengalami masalah seperti ini. Keadaan ini sangat mengganggu rutin hariannya sehingga dia tidak dapat menguruskan keluarga. Oleh kerana tidak tahan menanggung kesakitan Maznah bertemu doktor untuk mendapatkan penjelasan lanjut selain rawatan yang boleh dijalaninya.

Perkara pertama yang ditanya adakah Maznah pernah terjatuh sebelum ini atau mengangkat barang berat? Seingat Maznah memang dia pernah terjatuh ketika menuntut di universiti, tetapi peristiwa itu sudah lama berlalu, hampir lima tahun lalu.

Menurut Pakar Bedah Ortopedik dan Tulang Belakang Hospital Pusrawi Dr Sallehuddin Abdullah, apa yang dialami oleh Maznah adalah perkara biasa bagi mereka yang mengalami masalah cakera tergelincir (slipped disc).

Biasanya kesan selepas terjatuh tidak dirasai sebaliknya kesakitan mulai datang sedikit demi sedikit sehinggalah beberapa tahun mereka berasa sakit pada bahagian pinggang dan belakang.

“Keadaan ini berlaku apabila cakera yang berfungsi sebagai pengalas dan penstabil tulang belakang, terkeluar dari kedudukan asal iaitu tulang belakang dan saraf tulang belakang, lalu menekan urat saraf berhampiran.

“Manusia mempunyai 26 cakera bermula dari tengkuk sehingga ke pinggang, iaitu 12 pada bahagian toraks atau dada, tujuh pada tengkuk dan lima di tulang lumbar atau tulang belakang pada bahagian pinggang,” katanya.

Cakera ini berbentuk bulat dan lembut seperti gel. Apabila pecah ia akan bergerak ke belakang atau terkeluar dari kedudukan asal seterusnya menekan urat saraf tulang belakang dan pinggang sehingga menyebabkan kesakitan. Ini menyebabkan pesakit berasa tidak selesa dan menyukarkan mereka melakukan aktiviti harian.

“Jika dibiarkan kesakitan akan menjalar ke paha dan kaki menyebabkan pesakit tidak mampu bergerak atau memijak lantai. Mereka terpaksa mengambil cuti sakit dan tidak dapat melakukan kerja seharian,” katanya.

Masalah cakera tergelincir sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa saja sama ada mereka yang sudah berusia atau golongan muda, lelaki atau wanita. Dalam kelompok umur 30 hingga 40 tahun, perkara ini dianggap masalah biasa lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja menghadap komputer sepanjang hari.

“Bagi yang berusia 40 tahun ke atas, cakera pada tulang belakang menjadi lebih keras disebabkan kehilangan air dan kurang kenyal. Oleh itu ia senang pecah atau tergelincir dari tempat asal. Mereka yang pernah terjatuh, terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan kecederaan tulang belakang atau mengangkat barang berat lebih berisiko mengalami masalah ini,” katanya.

Rawatan

Pada peringkat awal, untuk kes cakera yang terkeluar tidak terlalu teruk, ia boleh dirawat menggunakan fisioterapi iaitu menjaga bahagian belakang dengan mengamalkan postur badan yang betul dan mengelakkan diri daripada mengangkat benda berat.

Postur yang betul boleh mengelakkan masalah ini menjadi lebih serius kerana pesakit yang gemar duduk membongkok akan mengakibatkan cakera semakin tertonjol ke belakang dan menekan saraf.

“Fisioterapi menerusi senaman bagi menguatkan otot belakang juga akan diajarkan kepada pesakit. Pesakit akan melakukan bersama pakar fisioterapi dan kemudian melakukan sendiri di rumah. Namun sekiranya cakera tergelincir ini agak serius dan menekan saraf, ada kala fisioterapi tidak membantu dan pembedahan mungkin perlu dilakukan bagi membebaskan saraf yang tertekan,” katanya.

Selain fisioterapi rawatan radiofrekuensi mampu mengurangkan kesakitan. Ia tidak membabitkan pembedahan sebaliknya satu kaedah suntikan dalam merawat pelbagai jenis kesakitan kronik.

“Menerusi rawatan ini suntikan akan diberi pada tempat yang sakit atau saraf yang berfungsi membawa isyarat sakit. Jarum ini akan disambung pada wayar elektrik radiofrekuensi yang bersambung dengan mesin radiofrekuensi khas. Kesakitan dapat dikurangkan kerana suntikan ini merencatkan rasa sakit pada saraf,” katanya.

Untuk mendapatkan ketepatan, suntikan dilakukan dengan kawalan imbasan sinar-X. Apa yang pasti menerusi suntikan ini kerosakan fizikal pada saraf dapat dirawat manakala saraf akan berfungsi seperti biasa, hanya rasa sakit yang disekat.

Jelas Dr Salehuddin, selepas rawatan radiofrekuensi pesakit sepatutnya melakukan fisioterapi merangsang otot sekali gus mengurangkan kesakitan. Apabila ia dilakukan dengan betul pemulihan menjadi lebih cepat. Pesakit dapat meneruskan aktiviti harian mereka tanpa melalui cuti yang lama.

Aktiviti yang menyumbang kepada cakera tergelincir:

1. Membongkok terlalu lama.

2. Mengangkat beban yang terlalu berat.

3. Cara mengangkat beban yang salah.

4. Duduk atau baring dalam postur badan yang salah.

5. Kecederaan ketika bersukan contoh mengangkat berat di gimnasium.

6. Terjatuh yang menyebabkan badan terhempas ke lantai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 11:08 AM