DR QALEY (kiri) dan Nafisah melancarkan buku bertajuk Kehidupan Tokoh Cemerlang: Heydar Aliyev dalam bahasa Melayu.
DR QALEY (kiri) dan Nafisah melancarkan buku bertajuk Kehidupan Tokoh Cemerlang: Heydar Aliyev dalam bahasa Melayu.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Jika dibandingkan dengan pemimpin terkenal dunia yang lain pasti ramai kurang mengenali Heydar Aliyev, apatah lagi mengetahui latar belakangnya.

Beliau ialah presiden ketiga Republik Azerbaijan yang memerintah negara bekas Republik Soviet itu dari 1993 hingga 2003 dan meninggal dunia pada 12 Disember 2003.

Namun, sumbangannya terhadap negara berkenaan sangat besar hingga berjaya menjadikan Republik Azerbaijan negara merdeka yang moden.

Bagi lebih mempopularkan lagi bekas pemimpin negara itu, kerajaan Azerbaijan menerusi Kedutaan Azerbaijan di Malaysia mengambil inisiatif menerbitkan buku bertajuk Kehidupan Tokoh Cemerlang: Heydar Aliyev dalam bahasa Melayu.

Buku yang ditulis penulis asal iaitu Viktor Andriyanov dan Gyseynbala Miralamov, diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh penterjemah bebas, Masliza Ab Hadi.

Ia merangkumi kisah sisi kehidupan peribadi, sosial dan politik beliau menerusi keluarga, teman rapat dan pihak lawan.

Pelancaran buku berkenaan disempurnakan Duta Azerbaijan di Malaysia Profesor Dr Qaley Allahverdiyev di Perpustakaan Negara.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Datuk Nafisah Ahmad.

Turut diadakan juga Pameran Menemui Azerbaijan di Perpustakaan Negara selama seminggu yang menunjukkan kekayaan budaya dan warisan sejarah masyarakat negara republik berkenaan dan keindahan semula jadi serta kemajuan negara itu kepada rakyat Malaysia.

Difahamkan, buku berkenaan Heydar Aliyev sudah diterjemahkan kepada lebih 30 bahasa termasuk Inggeris, Cina, Turki, Greek dan Russia.

PAMERAN Menemui Azerbaijan di Perpustakaan Negara selama seminggu menonjolkan kekayaan budaya dan warisan sejarah republik berkenaan.
PAMERAN Menemui Azerbaijan di Perpustakaan Negara selama seminggu menonjolkan kekayaan budaya dan warisan sejarah republik berkenaan.

Ini membuktikan Heydar bukan calang-calang pemimpin di negara berkenaan.

Dr Qaley berkata, sejak 1960-an lagi sejarah Azerbaijan sudah berkait rapat dengan nama Heydar.

Beliau mempunyai sifat kepemimpinan yang tinggi dan menjadi penggerak utama kemajuan ekonomi, politik, sosial serta pembangunan budaya negara itu.

Katanya, kelahiran semula rakyat Azerbaijan dalam semua bidang politik dan kebudayaan dikaitkan dengan Heydar kerana pembabitannya sepanjang 35 tahun untuk membangunkan negara berkenaan.

“Falsafah Azerbaijanisme dicipta Heydar pada 1960-an, menentukan kedudukan Azerbaijan dalam dunia moden yang menyediakan satu asas kukuh terhadap perpaduan dunia Azerbaijanis.

“Ia juga dilihat sebagai satu idealogi yang membawa kepada taraf negara kebangsaan,” katanya.

BUKU mengenai Heydar Aliyev diterbitkan dalam lebih 30 bahasa.
BUKU mengenai Heydar Aliyev diterbitkan dalam lebih 30 bahasa.

Beliau berkata, Heydar adalah pemimpin yang sukar dicari ganti kerana seluruh hidupnya untuk berbakti kepada rakyat malah, sentiasa mendahulukan rakyat dalam tugasannya.

Katanya, rakyat Azerbaijan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Heydar dan sentiasa mengenang jasanya selain memberi penghormatan berpanjangan kepadanya sebagai tokoh negara serta pemimpin hebat lagi bijaksana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 1:47 PM