BANDAR lama Gua Musang yang berhampiran stesen kereta api.
BANDAR lama Gua Musang yang berhampiran stesen kereta api.
KERETA api menjadi pengangkutan penting penduduk sejak awal tahun 50-an.
KERETA api menjadi pengangkutan penting penduduk sejak awal tahun 50-an.
HM Digital

Jika Guilin, China terkenal dengan pemandangan banjaran bukit hijau dan batu kapur, apa kurangnya dengan Gua Musang, Kelantan?

Merenung satu persatu gua dan bukit yang dilewati di hadapan mata sepanjang perjalanan di Gua Musang, tiba-tiba terasa jatuh hati. Ada satu nilai seni terpancar.

Bukit batu kapur di sekitar Gua Musang kebanyakannya menegak curam, sama ada rata atau berbonggol di bahagian teratas.

Sebahagian permukaan diselaputi pokok, sebahagian mendedahkan warna batu kapur yang terluluhawa.

Warna semula jadi batu kapur itu sama seperti kelihatan di beberapa destinasi pelancongan di Thailand yang penulis kunjungi.

Bukit batu kapur itu juga menjadi tumpuan lensa kamera sebagai fokus objek atau latar kenangan.

“Keistimewaan bandar Gua Musang ialah kedudukannya dikelilingi bukit yang membentuk lembah,” ujar Hamdan Hassan, anak jati Kelantan, pengguna tetap jalan di situ.

Sampai saja di kawasan bandar Gua Musang, penulis berhenti untuk meronda seketika dan melihat apa lagi yang menarik.

Memerhati di sekeliling, memang benar kata Hamdan, lokasi di kawasan lembah mewujudkan panorama bandar desa yang redup lagi tenang lengkap dengan kemudahan asas.

Gua Musang kini bukan lagi bandar mundur seperti suatu ketika dahulu. Ada stesen kereta api lama dan baru.

Terletak di pinggir bandar itu, landasan kereta api baru beriringan dengan jalan raya dua hala.

Malah Gua Musang terbahagi kepada dua iaitu bandar Gua Musang lama dan Bandar Baru Gua Musang.

Stesen kereta api baru lebih hampir dengan bandar lama iaitu kira-kira satu kilometer (km), sementara jarak dengan Bandar Baru Gua Musang sekitar enam km. Ini disebabkan stesen kereta api baru ini dibina tidak jauh daripada stesen kereta api lama di bandar lama.

Stesen kereta api Gua Musang milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad), menyediakan perkhidmatan KTM Antarabandar. Tren tempatan dari Tumpat tamat di Stesen kereta api Gua Musang.

Disebabkan banyak gua, kereta api ini melalui enam terowong antara stesen Dabong dan Kuala Krai.

Selepas pembukaan stesen baru, stesen lama tidak lagi diguna dan kawasan itu yang dulunya sibuk dengan penumpang turun naik kini sunyi sepi.

Beberapa bangunan yang ada kelihatan uzur. Sebaliknya stesen baru tampil ceria dengan binaan ruang masuk diteduhi bumbung berhias papan manis berukir kerawang di bahagian hadapan.

Di stesen baru itu, juga terdapat bukit batu kapur, identiti Gua Musang. Kelihatan dua gua batu kapur berkedudukan terpisah atau berjarakan, membentuk struktur U, antara tarikan panorama alam di situ.

Destinasi Gua Musang jauh lebih besar daripada Tumpat dan Wakaf Bharu di Kelantan dan ia berkembang pesat. Terdapat banyak kemudahan termasuk hotel dan pasar raya, kedai serta stesen petrol di situ.

Difahamkan, pengguna kereta api bergantung kepada perkhidmatan teksi dan kereta sapu. Pada sebelah malam, kawasan berkenaan meriah dengan aktviti jualan hasil kampung.

Pengunjung yang sukakan aktiviti lasak boleh mendaki Gua Musang ditemani penduduk di situ.

Andai ingin mendapatkan maklumat berkenaan perkhidmatan pengiring pendakian, boleh bertanya kepada pemandu teksi.

Perjalanan pendaki perlu melintasi landasan kereta api sebelum sampai ke pintu gua yang sempit. Tiada tangga simen disedia, cuma ada laluan pendaki terdahulu. Ketinggian gua ini kira-kira 100 meter. -Rashidah Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 11:30 AM