ANTARA barangan cenderahati yang dijual di Taman Rama-Rama Kuala Lumpur.
ANTARA barangan cenderahati yang dijual di Taman Rama-Rama Kuala Lumpur.
MENTADAK yang turut dipamerkan di muzium.
MENTADAK yang turut dipamerkan di muzium.
SUASANA hijau yang mendamaikan di Taman Rama-Rama Kuala Lumpur.
SUASANA hijau yang mendamaikan di Taman Rama-Rama Kuala Lumpur.
ULAT beluncas sebelum menjadi rama-rama yang cantik.
ULAT beluncas sebelum menjadi rama-rama yang cantik.
Suliati Asri


Dikerumuni rama-rama yang cantik saat berjalan di taman nan menghijau bagai di alam fantasi.

Itu belum lagi melihat sang rama-rama berwarna-warni hinggap di bunga yang mekar. Keindahannya nyata sesuatu yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Terasa ingin memegang namun itu sesuatu yang mustahil kerana kelincahannya mengelak daripada ditangkap.

Deruan air pancuran buatan yang memecah keheningan pula cukup mendamaikan sekali gus membuatkan pengunjung bagai berada di belantara menghijau.

Terlupa seketika lokasi sebenar di mana kaki sedang berpijak.

Itulah suasana indah yang pastinya menanti saat berkunjung ke Taman Rama-Rama Kuala Lumpur.

Taman Rama-Rama Kuala Lumpur adalah ‘syurga’ dipenuhi rahsia rama-rama yang cukup unik dan mengujakan.

Dibuka pada 1992, taman ini memperlihatkan serba-serbi mengenai rama-rama.

Daripada beluncas pelbagai bentuk, saiz dan warna, kemudian bertukar menjadi kepompong seterusnya menjadi rama-rama yang cantik, semuanya dipapar di sini.

Dihuni 5,000 rama-rama daripada 64 spesies yang terdapat di Malaysia, taman berkeluasan dua ekar ini juga mempunyai landskap menarik dengan pelbagai jenis tumbuhan eksotik dan tumbuhan yang menjadi rumah serta makanan kepada spesies serangga unik ini.

Terdapat kira-kira 360 spesies pokok yang ditanam di dalam taman ini dan semuanya berkaitan dengan kitaran hidup spesies serangga mempesona ini.

Melangkah masuk ke taman di Jalan Cenderasari, berhampiran Taman Tasik Perdana, setiap apa yang dilihat cukup menyeronokkan.

Melalui jalan yang tersedia, rama-rama berada di mana-mana saja.

Ada yang terbang bebas, hinggap di bunga mekar menghisap madu, di helaian daun, berehat secara berkumpulan di permukaan tanah dan banyak lagi.

Dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dengan kemasukan terakhir pada jam 5 petang, waktu pagi adalah masa terbaik untuk datang dan melihat sendiri rama-rama ini.

Ini kerana, pada waktu pagi rama-rama ini keluar mencari makanan.

Di sini, Rajah Brooke, Common Mormon, Papalio Iswara, Blue Bottle, Malay Lacewing dan Indian Leaf yang diklasifikasikan sebagai rama-rama tercantik.

Dari warna gelap seperti coklat, hitam, jingga, merah, biru sehinggalah ke kombinasi warna-warni bagaikan pelangi, ia ternyata cukup mengujakan.

Kecantikan rama-rama sememangnya cukup menakjubkan. Namun, kitaran hayatnya juga sesuatu yang menarik untuk diketahui.

Ini kerana proses telur sebelum menjadi beluncas mengambil masa dua minggu. Kemudian daripada beluncas ke pura atau kepompong, ia mengambil dua minggu. Seterusnya dua minggu untuk menjadi rama-rama.

Rama-rama juga akan hidup selama dua minggu. Bagaimanapun, jangka hayatnya juga bergantung kepada cuaca dan keadaan.

Pastinya, tangan bagai tidak berhenti memetik kamera untuk menangkap gambar terbaik.

Dek teruja, ada pengunjung yang menghabiskan masa lebih daripada dua jam di dalam taman semata-mata untuk mendapatkan foto terbaik.

Jika datang bersama tersayang atau keluarga, jangan sesekali lupa untuk mengabadikan foto kenangan bersama mereka.

Puas berjalan dan mengambil foto, duduk berehat sebentar di tengah taman di pondok dengan air sungai buatan memberi ketenangan.

Pelbagai jenis ikan koi yang berwarna-warni bebas berenang di dalam kolam menambahkan kedamaian yang dirasai.

Untuk si kecil, memberi makan ikan koi dengan makanan yang dijual pasti memberikan keseronokan buat mereka.

Mana tidaknya, beri saja makan, audah pasti akan berkerumun ikan-ikan ini.

Melihat di satu sudut berhampiran pintu keluar, ternampak satu ruangan yang dipenuhi kepompong pelbagai saiz.

Mendekatinya, ia adalah kepompong rama-rama pelbagai jenis yang dipindahkan ke situ.

Selesai penerokaan di dalam taman, ruangan ilmiah atau muzium mini mengenai pembiakan rama-rama serta spesiesnya dan tidak ketinggalan penerangan mengenai serangga lain seperti mentadak mentadu, kumbang, dan kala jengking.

Terdapat kira-kira 20 jenis serangga yang dipamerkan di sini dan ia sememangnya sangat mengujakan.

Mengunjungi taman rama-rama ini sememangnya pilihan yang bijak kerana pengunjung bukan saja boleh melihat rama-rama tetapi mempelajari banyak mengenai serangga yang cantik itu.

Dengan bayaran tiket sebanyak RM 7 untuk kanak-kanak dan RM 12 untuk dewasa, ia sememangnya sangat berbaloi.

Harga tiket untuk keluarga iaitu dua dewasa dan tiga kanak-kanak sebanyak RM38 juga sangat menjimatkan.

Untuk maklumat lanjut, layari www.klbutterflypark.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 10:45 AM