BELUNCAS dari pelbagai spesis rama-rama yang masih terdapat di Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka, Ayer Keroh. FOTO Iqmal Haqim Rosman
BELUNCAS dari pelbagai spesis rama-rama yang masih terdapat di Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka, Ayer Keroh. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Amir Mamat


TAMAN Rama-Rama dan Reptilia Melaka (MBRS) di Ayer Keroh menanggung kerugian RM300,000 dan terpaksa melupuskan 3,000 beluncas daripada pelbagai spesis rama-rama di taman itu.

MBRS melupuskan beluncas berkenaan untuk menjimatkan kos yang perlu ditanggung oleh taman zoologi itu berikutan kehilangan sumber pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan koronavirus baharu (Covid-19).

Eksekutif Hidupan Liar MBRS, Qurratu A’in Rohaminordin, berkata meskipun ada di antara spesis itu sudah dibiakkan lebih 10 tahun lalu, pihaknya tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menghapuskan beluncas itu.

Beliau berkata, langkah itu berikutan kerana taman riadah itu perlu mengehadkan kuantiti ulat beluncas, sekali gus dapat meminimakan penggunaan pokok perumah bagi ulat beluncas berkenaan, di samping mengurangkan bilangan pekerja makmal.

“Hal ini penting bagi menjimatkan kos yang perlu ditanggung oleh taman zoologi ini sepanjang kemelesetan ekonomi yang berlaku kesan daripada penularan Covid-19.

“Sejak PKP dikuatkuasakan bulan lalu, taman zoologi ini kehilangan sumber pendapatan sehingga mencecah sifar keuntungan, malah, sepanjang dalam tempoh itu juga, MBRS terpaksa berhadapan dengan kerugian yang mencecah RM300,000,” katanya ketika ditemui di taman itu, hari ini.

Sebelum ini, MBRS pernah mencipta nama dengan kejayaan mereka menyelidik dan membiakkan lebih daripada 100 spesis rama-rama dan serangga.

Makmal pembiakan rama-rama di taman itu berjaya membiakkan lebih 200,000 rama-rama setiap tahun, yang mana 10 peratus daripadanya akan dilepaskan ke kawasan persekitaran sebagai sumbangan kepada program konservasi alam sekitar.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 10:10 PM