PENAMPILAN sarat corak dan perincian sengaja ditampilkan bagi memperlihatkan budaya Barcelona.
PENAMPILAN sarat corak dan perincian sengaja ditampilkan bagi memperlihatkan budaya Barcelona.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Aspek kembara sering menjadi mainan pada kanvas atau tema dalam fesyen. Aspek kembara itu dilihat sebagai unsur paling praktikal dalam menentukan haluan gaya musim terbabit, sekali gus memberi impak kepada keseluruhan trend di pentas peragaan global.

Mengambil aspek kembara sebagai tunjangnya, BCBGM­axazria (BCBG) menjelajah ke Barcelona, Sepanyol bagi menyelami arus kepelbagaian budaya dan gaya yang dicetuskan dari tebing Lautan Baltic itu.

Lasak, tapi masih bercirikan feminin. Dan sememangnya apa yang ditonjolkan BCBG musim ini mencetuskan semangat percutian bohemian yang tak lapuk ditelan masa.

Siluetnya klasik, tetapi dengan fabrikasi yang dimodenkan lalu diberikan sentuhan ringan agar selesa bergaya.

Gaun potongan lurus dan kembang pula diimbangi helaian quilt berstruktur menarik.

Palet warna musim dingin ditonjolkan pada skala besar dalam koleksi ini. Warna gradien putih, coklat perang dan perang unta diadun bersama rona mewah merlot, biru dakwat serta hitam.

Rekaan dan potongannya sedikit keterlaluan apabila emosi keseluruhan himpunan ini berlatarkan kehidupan pesta yang menjadi kelaziman warga Barcelona.

Corak sarat disertakan terutama pada gaun dan blaus sementara perincian minimum bertindak sebagai kemasan akhir bagi melengkapi koleksi ini.

Rona monokrom tidak begitu diberi perhatian seperti musim lalu dan sesekali dipersembahkan sebagai variasi gaya.

Dan seperti biasa, BCBG pasti hadir dengan padanan aksesori. Sepatu but paras buku lali dan lutut menjadi pilihan sementara beg genggam bersaiz sederhana ditambah sebagai pelengkap gaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 5:00 AM