Oleh Ahmad Salihin Abd Rahim

Apabila mencapai kelajuan 90 kilometer sejam (km/j), gambar enjin berwarna kuning akan bernyala pada meter Proton Wira 1.5 liter saya.

Apakah yang menyebabkan masalah itu berlaku?

MOHD SUPRI DAUD

Kuala Lumpur

Lampu amaran enjin biasanya akan bernyala sekiranya sistem pengurusan atau kawalan kuasa enjin mempunyai masalah.

Jika lampu itu bernyala ketika memandu, ia perlukan pemeriksaan secepat mungkin. Sekiranya anda perlu meneruskan perjalanan, sebaik-baiknya pandu dengan bersahaja dan berhati-hati.

Lazimnya amaran itu akibat ia mengesan kebocoran hos vakum, kegagalan mengesan oksigen atau kegagalan sistem elektronik.

Dalam kes anda, jika ia bernyala pada kelajuan tertentu, kemungkinan ia disebabkan masalah kadar campuran bahan api seperti kebocoran saluran udara atau badan pendikit. Cuba hentikan kenderaan dan matikan enjin. Selepas sekurang-kurangnya dua minit, hidupkan semula enjin untuk menetapkan semula sistem pengurusan enjin.

Walaupun lampu itu masih bernyala, kenderaan anda masih selamat untuk dipandu selagi tiada kerosakan lain yang jelas kelihatan dengan enjin. Jika bernyala ketika enjin berfungsi, ia menunjukkan ada kerosakan berhubung sistem pengurusan enjin dan perlu diperiksa secepat mungkin.

Sekiranya ia berkelip ketika memandu, kurangkan kelajuan kenderaan segera sehingga lampu amaran bernyala dengan stabil.

Jika terus berkelip, elakkan pecutan berat atau kelajuan enjin yang tinggi, hentikan kenderaan dan membuat pemeriksaan.

Bagi sesetengah kenderaan, lampu amaran itu mungkin bertukar menjadi merah yang memaklumkan bahawa anda perlu memberhentikan kenderaan dengan segera serta mendapatkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 9:54 AM