Alcatel Flash 2 dijual pada  harga runcit RM549.
Alcatel Flash 2 dijual pada harga runcit RM549.

Petaling Jaya: TCL Communication Technology (TCL Communication) syarikat telekomunikasi mudah alih global dari China memperkenalkan model telefon pintar terbaru di bawah jenama Alcatel Flash iaitu Alcatel Flash 2 yang lebih fokus kepada fotografi mudah alih berbanding model sebelum ini.

Pengarah Operasi Perdagangan Elektroniknya, Yogi Babria berkata, model terbaru itu dibina atas komitmen jenama Alcatel Flash untuk menyediakan pengalaman fotografi mudah alih lebih unik atau ‘mobigraphy’ kepada pengguna.

“Pada masa ini, mobigraphy gaya hidup dan Flash 2 ini menyaksikan kami meningkatkan lagi kualiti model ini di samping terus menawarkan kemudahan dan keselesaan untuk pengguna merakamkan saat terindah masing-masing,” katanya pada sidang media selepas melancarkan model telefon pintar terbabit di sini, baru-baru ini.

Alcatel Flash 2 menawarkan peningkatan dalam teknologi kamera melalui ciri ‘gSight’ apabila kamera belakang yang memiliki 13 megapiksel menyediakan gambar lebih terang dan jelas manakala kamera depan memiliki lampu flash LED dan cahaya tambahan untuk kegunaan selfie.

Ia juga dihasilkan sesuai cengkaman tangan pengguna apabila tidak licin dan tiada lengkungan sekali gus memastikan peranti itu kekal bersih dan tiada kekotoran sepanjang masa. Selain itu, ia menawarkan pengalaman terbaik dalam menggunakan Android L UI dengan model ini dikuasakan melalui pemproses 64-bit Octa Core.

Yogi berkata, Malaysia kekal pasaran penting jenama Alcatel memandangkan negara memiliki pasaran telefon mudah alih yang sentiasa berkembang dan dinamik.

Model ini didatangkan dalam dua warna pilihan iaitu Kelabu Volcanic dan Putih Mica dengan harga runcit RM549.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 6:43 AM