Kuala Lumpur: “Jangan janji bulan dan bintang jika tidak mampu.”

Itu reaksi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung peningkatan gaji pemain dalam Liga Malaysia sejak kebelakangan ini.

“Kalau diimbas semula, FAM pernah meletakkan harga siling bagi mengawalnya supaya pemain tidak dibayar terlalu mahal.

“Bagaimanapun kami akan kaji perkara ini kerana terdapat mekanisme yang digunakan UEFA namun di Malaysia, kita tidak mengetahui kedudukan kewangan di peringkat negeri dan kelab.

“Kita tidak boleh mengawal mereka, namun hanya boleh memberi nasihat supaya tidak membayar terlalu mahal kepada pemain.

“Kita selalu beri nasihat kerana tidak mahu masalah seperti gaji tertunggak, EPF dan sebagainya berlaku. Jika tidak mampu, jangan janji bulan dan bintang,” katanya semalam.

Sementara itu, Tengku Abdullah berkata, pihaknya menangguhkan keputusan mengenai penajaan Liga Malaysia untuk tempoh empat tahun lagi bermula 2015 bagi membolehkan prosesnya berjalan lebih teratur.

Laporan mengatakan terdapat tiga pihak sudah mengemukakan bidaan membabitkan Astro-Fox International RM50 juta semusim, Telekom Malaysia-Media Prima (RM70 juta) dan Zenith Media-IMG Sports (RM75 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:07 AM