GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Naqib Nor Said


KUALA LUMPUR: Tidak salah untuk memperkenalkan semula harga siling dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), tetapi biarlah nilai terbabit tidak menyusut dengan terlalu mendadak dalam menjaga prestij liga nombor satu negara itu.

Demikian pendapat ejen pemain berpengalaman, Effendi Jagan Abdullah ketika mengulas kegagalan beberapa pasukan menjelaskan tunggakan gaji berpunca daripada tawaran yang terlalu mahal susulan tiadanya kawalan harga dalam pasaran jual beli pemain Liga-M.

"Memang boleh memperkenalkan harga siling gaji pemain, tetapi harus munasabah sebab kalau terlalu banyak kita turunkan (tangga gaji) takut nanti tiada pemain import berkualiti yang mahu ke Malaysia.

"Pemain yang mahal sememangnya berkualiti, yang kurang mahal (meminta gaji lebih kecil) kualiti mereka kurang sedikit.

"Selain itu, perlu juga dikaji mengenai ada pasukan yang mengambil kesempatan mencapai persetujuan gaji yang rendah di dalam kontrak rasmi tetapi kemudian membuat perjanjian tepi untuk membuat pembayaran gaji tambahan," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan pengurangan kuota import sebagai jalan terakhir buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membendung isu tunggakan gaji yang sudah menjerat beberapa pasukan sehingga terpaksa menarik diri daripada kancah Liga-M.

"Mungkin pilihan lain bagi mengatasi masalah ini (bebanan kewangan pasukan) dengan FAM memakai pendekatan mengurangkan kuota pemain import.

"Memang saya ejen pemain dan pastinya lebih suka untuk membawa ramai tenaga import ke Malaysia tetapi saya perlu bercakap benar demi kelangsungan Liga-M."

Semalam, NSTP Sukan tampil memainkan isu mengenai kegagalan beberapa pasukan menjelaskan tunggakan gaji pemain yang dianggap berpunca daripada tiadanya kawalan harga dalam penetapan gaji pemain sehingga menyebabkan lebih daripada separuh pendapatan pasukan dibelanjakan untuk membayar gaji pemain.

Difahamkan, gaji pemain bintang tempatan mampu mencecah hampir RM70,000 dengan tonggak import termahal mencecah RM180,000 sebulan jauh lebih tinggi berbanding beberapa liga utama lain di Asia Tenggara.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 3:30 PM