RUANG selesa untuk pelanggan.
RUANG selesa untuk pelanggan.
NORAKMA Zuliati bergambar bersama juruterapi di spa miliknya di Sungai Buloh.
NORAKMA Zuliati bergambar bersama juruterapi di spa miliknya di Sungai Buloh.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Spa berkonsepkan bahan semula jadi yang dibuka pada April tahun lalu khusus untuk Muslimah ini mementingkan keselesaan setiap pelanggannya.

Bagi memberi keselesaan kepada pelanggan, konsep satu bilik satu rawatan diperkenalkan. Ia juga sebagai satu cara bagi memberikan rawatan eksklusif kepada pelanggannya dengan harga berpatutan.

Memiliki ruang yang selesa, pemilik Akma Beauty Spa, Norakma Zuliati Mohd Noor menyediakan lima bilik berasingan untuk digunakan bagi pelanggannya menjalani rawatan berbeza dengan lebih privasi.

Spa harian itu menawarkan rawatan bermula rambut, muka, badan, kaki dan tangan untuk memudahkan pengunjung memilih pakej diinginkan.

Menariknya, spa berkenaan turut menggunakan bahan semula jadi yang diadun sendiri pemiliknya bagi memastikan ia sentiasa segar sebelum digunakan dalam rawatan.

“Bagi rawatan badan pula adalah gabungan kaedah tradisional dan moden. Kaedah tradisional seperti menggunakan lulur herba yang dibuat daripada rempah-ratus segar.

“Bahan utamanya iaitu garam bukit digabungkan bersama 10 rempah seperti kunyit, lada hitam, lada putih dan habatus sauda bagi membantu membuang angin dalam badan.

“Ia juga baik dilakukan individu yang demam kerana ia membantu mengeluarkan peluh dan memberi kesegaran kepada badan,” katanya.

Menurutnya, adunan ini yang dijadikan serbuk juga boleh dijadikan bahan untuk bertangas atau ditekap pada perut bagi wanita yang berpantang.

Selepas dilulur, badan dibungkus dengan plastik dan tuala selama 20 minit supaya manfaat yang terkandung dalam bahan yang digunakan meresap dalam kulit.

Bagi pengunjung yang mahukan rawatan badan secara moden, lulur yang diperbuat daripada serbuk kopi, badam, gula perang, beras, kacang soya dan emping jagung lebih sesuai.

Bahan utamanya ialah garam, gula perang atau beras yang dicampur menggunakan bahan semula jadi yang lain mengikut kesesuaian jenis kulit pelanggan.

Serbuk beras membantu membuang kotoran manakala garam bukit sesuai untuk kulit sensitif dan gula perang boleh digunakan pemilik kulit yang terlalu kering.

Namun, berbeza untuk rawatan muka kerana spa berkenaan menawarkan rawatan asas daripada normal hingga spesifik yang memberi fokus kepada ketenangan.

“Jika pelanggan alah kepada produk atau bahan kimia, mereka ditawarkan untuk memilih menggunakan bahan berasaskan semula jadi. Tidak ketinggalan, urutan badan juga disediakan di spa berkenaan dalam tiga kategori iaitu relaks, tradisional dan sinergi.

“Urutan relaks membantu membetulkan sistem limfa bagi membantu melancarkan peredaran darah manakala urutan sinergi lebih kepada aromaterapi yang menggunakan minyak lavender serta oren bagi mengurangkan tekanan atau keletihan,” katanya.

Terdapat dua lokasi yang boleh dikunjungi sama ada di Lorong Selangor, Pusat Bandar Melawati atau di Pusat Komersil TSB, Sungai Buloh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 5:00 AM