SEMUANYA untuk keselesaan pelanggan ketika berada di kaunter pendaftaran.
SEMUANYA untuk keselesaan pelanggan ketika berada di kaunter pendaftaran.
LATAR biru dan putih menjadi warna dominan untuk Beach Cafe Restaurant.
LATAR biru dan putih menjadi warna dominan untuk Beach Cafe Restaurant.
BINAAN menghadap pantai yang turut menempatkan Villa Dato Siti.
BINAAN menghadap pantai yang turut menempatkan Villa Dato Siti.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Duduk seketika me­ngadap pantai sudah cukup memberikan seribu satu ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Sepanjang masa mata disajikan dengan pandangan biru luas terbentang dan hempasan ombak pula menghiburkan halwa telinga.

Paling bertuah lagi jika berkesempatan menginap di vila mewah lengkap dengan kemudahan hingga membuatkan anda lupa seketika beban tugas di pejabat.

Mengimbau kembali kenangan awal November lalu ketika penulis mengikuti program Liputan Media Di Kelantan anjuran Kraftangan Malaysia, pengalaman itu tidak mungkin dilupakan.

Menginap pula di Villa Danialla Beach Resort Malaysia, Bachok yang sinonim dengan panorama lautan saujana indah mata memandang benar-benar menggamit rasa.

Terletak 48 kilometer dari Kota Bharu, vila eksklusif itu menjanjikan kelainan yang anda cari selama ini.

Tarikan bermula sebaik melewati pintu masuknya apabila landskap tropika dalam suasana desa melatari tanah berkeluasan 3.2 hektar itu.

Menurut pengarah urusannya, Datuk Siti Hamidah Hamat, idea penataan landskap dan seni bina keseluruhan vila berkenaan dirancang rapi supaya keindahan alam semula jadi di sekitarnya dapat dinikmati tetamu sepanjang masa.

“Apabila lokasi penginapan terletak di tepi pantai, sudah tentu tetamu yang bakal tiba membayangkan panorama unik dengan idea binaan menarik, bilik selesa dan sedap mata memandang.

“Mengambil kira keperluan itulah landskap tropika cuba diketengahkan selari dengan keadaan asal tanah ini yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan hijau,” kata wanita yang berpandangan jauh itu.

Senario pagi dan petang juga diwarnai keriuhan gelagat ayam dan itik yang dibela di dalam reban.

Anda yang pernah tinggal di desa satu ketika dulu pasti mengimbas kembali kena­ngan dan menjadi idea cerita untuk generasi hari ini.

Binaan beberapa vila penginapan yang berkonsepkan tradisional Melayu pula membawa identiti tersendiri seolah-olah menjadi simbolik pengenalan indahnya seni bina masyarakat kita kepada dunia.

Penggunaan kayu balau, cengal dan meranti sarat dengan seni ukiran antara material utama untuk binaan vila itu, sekali gus memperlihatkan ‘perkampungan tradisional’ yang privasi.

Ini kerana Villa Danialla tidak hanya menjadi lokasi penginapan percutian pelancong tempatan, malah turut menarik perhatian pelancong asing khususnya dari Russia.

“Kami ingin berkongsi pengalaman indah di sini, saban waktu menghirup udara pantai dan beristirahat pula dalam vila yang sarat dengan nilai estetika.

“Mempunyai 96 bilik dalam 10 vila berbeza hakikatnya memberikan pengalaman menikmati suasana kehidupan desa di tepi pantai, tapi penuh privasi.

“Ia terdiri daripada Villa Sarah, Villa Haflin, Villa Matahari, Villa Fatimah, Villa Hamat, Villa Zainab, Villa Ombak, Villa Russkaya, Villa Meriam dan terbaru Villa Dato Siti,” katanya.

Villa Sarah mempunyai dua bilik tidur dan membawa anda bagaikan menginap di sebuah banglo tepi pantai yang jauh dari kesibukan kota.

Bilik mandinya yang mempunyai pancuran batang buluh antara suasana kehidupan desa yang begitu dekat dengan alam.

Di Villa Haflin pula memberi peluang tetamunya bersantai di dalam bilik sambil menikmati pemandangan pantai di depan mata.

Seindah namanya, Villa Matahari antara penginapan yang direka khas dengan pantulan cahaya matahari.

Gazebo di luar sana pula turut menjadi lokasi istirahat sambil tidak terlepas mendengar hempasan ombak pantai.

Bagi tetamu korporat, Villa Fatimah menawarkan 10 bilik gaya moden dan kontemporari sesuai.

Dekorasi tradisional dan moden pula digabungkan pada Villa Hamat. Diinspirasikan daripada seni bina Perancis, Villa Zainab turut menawarkan dekorasi eksklusif.

Villa Ombak pula antara penginapan paling sesuai buat tetamu yang datang bersama keluarga. Berlatarkan gaya kediaman Mediterranean, ia dilengkapi perabot yang menarik.

Uniknya nama Villa Russkaya adalah inspirasi dan penghargaan buat tetamu Russia yang sering bertandang ke Villa Danialla itu.

“Ia menjadi simbolik ‘persahabatan’ yang terjalin sejak vila ini beroperasi.

“Sekurang-kurangnya kita dapat menampilkan keunikan seni bina Melayu dan dekorasi unik dengan panorama pantai indah buat mereka,” kata Siti Hamidah.

Sementara itu, Villa Dato Siti antara paling eksklusif apabila ruang tamunya paling dekat dengan pemandangan pantai selain garapan seni bina Melayu yang hebat.

Kunjungi Villa Danialla di Lot 385, Kandis, Jalan Tok Bali, Bachok, Kelantan atau layari Facebook Villadanialla atau laman web www.villadanialla.com untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 5:45 AM