MAHAWAR berjalan ke kenderaan polis selepas ditahan di Bilaspur, kelmarin.
MAHAWAR berjalan ke kenderaan polis selepas ditahan di Bilaspur, kelmarin.

Raipur (India): Sebuah syarikat yang disiasat selepas beberapa wanita mati ketika menjalani prosedur mencegah kehamilan menafikan dakwaan antibiotik yang dihasilkan tercemar dengan racun tikus.

Menurut dua pegawai kanan negeri Sabtu lalu, ujian awal menunjukkan pil yang dihasilkan Farmaseutikal Mahawar, syarikat kecil yang berpangkalan di Chhattisgarh didapati mengandungi zink fosfid.

Ekoran itu, sampel pil dihantar ke Kolkata dan Delhi untuk pemeriksaan lanjut.

Antibiotik itu diberikan kepada wanita yang menyertai kem perancang keluarga anjuran kerajaan yang diadakan secara besar-besaran di negeri itu, antara paling miskin di India.

Sekurang-kurangnya 15 wanita mati, kebanyakannya yang menghadiri kem terbabit.

Pengarah urusan Farmaseutikal Mahawar, Ramesh Mahawar menafikan sebarang salah laku.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan syarikat itu, dia berkata, insiden berkenaan telah dibesar-besarkan.

“Kami mahu menjelaskan, Jumaat lalu, dalam stor kilang kami, hanya ada sekeping gam perangkap tikus yang ditemui dan ia dianggap racun tikus.

“Kami akan bekerjasama dengan kerajaan dalam siasatan ini. Kami percaya selepas siasatan yang adil dilaksanakan segala tuduhan dapat dibuktikan tidak berasas,” katanya dalam kenyataan itu.

Mahawar dan anak lelakinya ditahan Khamis lalu. Kedua-dua suspek tidak mengaku bersalah. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:06 AM