KERETA api bergerak di tengah-tengah landskap fuschia di Gurun Atacama.  - Foto Tomas Cuadra Ordenes
KERETA api bergerak di tengah-tengah landskap fuschia di Gurun Atacama. - Foto Tomas Cuadra Ordenes
Susunan Siti Salmiah A Hamid


Gurun Atacama di Chile adalah padang pasir paling kering di dunia. Pada hari biasa, tiada yang menarik di situ kecuali tanah berbatu yang tandus dan gersang.

Bagaimanapun, selepas ‘berehat’ panjang, padang pasir itu kini berubah wajah.

Hujan lebat disertai ribut taufan yang melanda utara Chile pada Mac lalu, meniup kehidupan di gurun itu.

Hujan lebat itu menyebabkan kejadian tanah runtuh dan banjir membunuh 28 orang manakala ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.

Bagaimanapun, hujan luar biasa itu juga mengubah keseluruhan padang pasir apabila lebih 200 spesies tumbuh-tumbuhan mula berbunga dan menyerikan tanah gersang dengan aroma dan warna yang jarang-jarang berlaku.

Fenomena ‘Gurun Mekar’ hanya berlaku setiap empat atau lima tahun sekali dari September hingga November.

Ribuan pelancong dari serata dunia datang kerana mengagumi tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang mula kelihatan di gurun berkenaan pada musim bunga di hemisfera selatan.

Padang pasir berbunga satu keajaiban alam dan menjadi fenomena paling cantik dan menarik berlaku di Chile.

Kawasan seluas ratusan kilometer persegi di padang pasir yang biasanya hanya diselaputi pasir dan batu kini berubah bagaikan menjadi hamparan permaidani pelbagai warna.

Tempoh berbunga juga berbeza kerana ia mengikut ciri-ciri hujan, tetapi akan bermula pada akhir Ogos sehingga November atau paling lewat Disember.

Tahun ini, daerah sekitar Huasco yang terletak 45 kilometer ke barat serta laluan sungai dengan nama yang sama, antara tempat terbaik untuk menghargai dan menikmati kurniaan Tuhan ini.

Ia juga boleh dilihat dari jalan 5 North yang sama antara Vallenar dan Copiapo serta Aguada de Tongoy iaitu lembah sempit yang terletak 35 kilometer ke selatan bandar tepi pantai ini.

Bukit di situ dilindungi bunga biru kecil (azulillos) berbentuk bulat dan berwarna kuning terang apabila muncul bunga ananucas dengan kelopak panjang halus.

Lebih 200 spesies bunga muncul selepas bertahun-tahun sabar menanti. Jika dulu ia hanya tanah kontang, kini pelbagai bunga muncul dengan penuh kebanggaan dan keagungan.

Tidak semua bunga akan kembang pada masa sama, ia tumbuh mekar secara berasingan menyebabkan akan kelihatan pelbagai warna bertukar di atas gurun itu.

Bukan saja bunga muncul di gurun itu. Pelbagai fauna juga boleh ditemui seperti cicak, reptilia, burung serta binatang seperti musang dan guanaco, sejenis haiwan dalam kalangan keluarga llama.

Semuanya berkongsi alam sekitar yang menakjubkan itu. Malah, menjadi kebiasaan pada waktu ini pengunjung dapat melihat serangga seperti gyriosomus atau ‘lembu kecil padang pasir’, tebuan dan kumbang coleopterous.

Warisan masyarakat

Disebabkan kebanyakan spesies itu hanya tumbuh ketika fenomena Gurun Mekar, ia perlu dipelihara secara asas.

Laluan berjalan kaki perlu dibina bagi mengelak pengunjung terpijak bunga yang dalam proses berkembang selain larangan memetik bunga kerana ia tidak tumbuh dari dalam pasu atau taman yang diusahakan.

Regional Government Exent Resolution secara rasminya melindungi flora ini bagi memastikan generasi akan datang masih dapat menikmati pemandangan di Atacama.

“Rantau Atacama dihukum, tetapi juga diberkati oleh fenomena yang sedang berkembang di padang pasir. Ia sesuatu yang berlaku hanya selepas hujan, kali ini dibawa El Nino dan perubahan iklim.

“Kehadiran bunga tahun ini tidak sama seperti sebelumnya. Hakikat yang ia berlaku dua kali setahun juga tidak pernah tercatat dalam sejarah. Ia sungguh mengejutkan,” kata pengarah Perkhidmatan Pelancongan Negara Atacama, Daniel Diaz pada EFE.

Hanya tiga padang pasir di dunia ditumbuhi bunga mekar iaitu Amerika Syarikat, Australia dan Chile.

“Ia satu pengalaman unik dan kami mengambil inisiatif untuk mendokumentasikan ekosistem dinamik ini untuk melihat bagaimana bunga-bunga itu hidup dan katalog­kannya,” kata pemandu pelancong Rodrigo Arcos.

Menurut jurucakap rasmi, selepas banjir dahsyat pada Mac dan hujan tambahan pada Ogos, rantau Atacama berjaya memulihkan ekonomi yang sebahagian besarnya daripada pelancongan.

“Aktiviti pelancongan memberi kami peluang meningkatkan taraf ekonomi dan tidak bergantung pada perlombongan semata-mata seperti selama ini,” kata Gabenor Atacama Miguel Vargas.

Atacama pernah menjadi tajuk utama akhbar di seluruh dunia pada 2010 apabila 33 pelombong terperangkap di bawah tanah dan diselamatkan pada hari ke-71. Ia kini disenaraikan dalam panduan perjalanan Lonely Planet sebagai antara 10 destinasi utama 2015.

Penduduk Atacama kini menunggu kedatangan kira-kira 20,000 pelancong yang tidak sabar melihat Gurun Mekar dan menurut pakar fenomena semula jadi, ia berterusan sehingga November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:04 AM