KAWASAN di Tabuk yang menghijau. FOTO GOOGLE MAPS
KAWASAN di Tabuk yang menghijau. FOTO GOOGLE MAPS
Muhammad Saufi Hassan


Beberapa tahun lalu, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa) Amerika Syarikat (AS) ada mengeluarkan imej permukaan muka bumi Arab Saudi atau Semenanjung Arab (Jazirah Arab) yang semakin menghijau.

Dalam laporan Nasa berkenaan, agensi itu memuat naik empat imej angkasa iaitu pada 1987, 1991, 2000 dan 2012 yang menunjukkan permukaan gersang bumi Arab Saudi sudah bertukar kepada menghijau sedikit demi sedikit.

Pastinya, tahun 2022 ini lebih banyak permukaan yang menghijau di bumi Arab memandangkan laporan Nasa berkenaan berakhir pada imej yang dirakam pada tahun 2012.

Tanpa disedari, salah satu tanda kiamat adalah Semenanjung Arab akan menjadi padang rumput dan sungai yang mengalir.

Nabi SAW bersabda bermaksud: "Tiada berlakunya kiamat sehingga harta melimpah-ruah, sehingga seseorang keluar dengan membawa zakat hartanya namun tidak menjumpai orang yang layak menerimanya. Tidak berlakunya kiamat sehingga Tanah Arab Kembali hijau dipenuhi sungai." (Hadis  Riwayat Muslim,  no 157)

Menekuni fakta berkenaan, kedudukan tanah yang gersang ini khususnya di negara Arab akan berubah wajah iaitu daripada gurun padang pasir akan menjadi permukaan yang menghijau dan subur.

Jika melihat kepada fakta geografi pula, Tanah Arab ini terdiri daripada kira-kira 70 peratus kawasan gurun yang gersang, namun Rasulullah SAW bersabda bahawa salah satu tanda kiamat adalah kawasan ini (Tanah Arab) akan bertukar menjadi padang rumput dan mempunyai sungai yang menandakan kawasan subur.

Berdasarkan tulisan daripada Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir menukilkan bahawa Imam Nawawi RA berkata mengenai pengertian kembalinya negeri Arab sebagai padang rumput dan sungai adalah seperti berikut:  "Maknanya, Wallahu a'lam, bahawa mereka (penduduknya) akan meninggalkan dan menjauhinya sehingga menjadi tidak terurus, tidak ditanam dan tidak disiram dengan airnya. Perkara ini terjadi kerana kurangnya kaum lelaki, banyaknya peperangan, bertompok-tompok fitnah, dekatnya Hari Kiamat, nipisnya pengharapan dan tidak adanya perhatian untuk mengelolanya."

  Beliau juga menukilkan bahawa Yusuf bin Abdullah Yusuf al-Wabil dalam kitab Asrat al-Sa'ah menyatakan pandangan yang dinyatakan oleh Imam Nawawi tersebut adalah kurang tepat kerana kondisi dan situasi Semenanjung Arab adalah negeri yang tandus, berpasir dan kurang tumbuh-tumbuhan.

Pada umumnya, air akan diperoleh melalui perigi atau telaga dan tadahan air hujan. Apabila penduduknya meninggalkan kawasan tersebut, maka tanaman akan mati dan tidak akan kembali menjadi padang rumput  dan sungai.

Namun, pada hari ini, lembah gersang dan kering kontang mula menghijau dan ditumbuhi dengan tumbuh-tumbuhan yang subur serta aliran sungai yang menjadikan kehidupan di kawasan tersebut bertukar menjadi segar dan damai.

Oleh itu, zahir daripada hadis berkenaan bahawa di negara-negara Arab ini akan banyak air sehingga munculnya banyak sungai  yang menumbuhkan tumbuhan-tumbuhan sehingga menjadi padang rumput, kebun dan hutan.

Dalam hadis, Nabi SAW bersabda bahawa daerah Tabuk secara khususnya akan bertukar menjadi tempat yang subur dengan tanaman.  

Maksudnya hadis: Kami telah keluar bersama Rasulullah SAW pada tahun peperangan Tabuk… Kemudian Baginda bersabda: "Sesungguhnya esok kamu akan singgah di mata air Tabuk, Insya-Allah. Kamu juga akan sampai ke situ pada waktu duha. Maka sesiapa dalam kalangan kamu yang telah sampai di situ, jangan sesekali  menyentuh airnya sehingga aku sampai". Lalu kami pun sampai di mata air tersebut… Muaz berkata lagi: Kemudian, mereka mencedok air dari air mata itu menggunakan tangan sedikit demi sedikit sehingga terhimpun dalam satu bekas. Beliau berkata: "Rasulullah SAW membasuh kedua-dua tangan dan muka Baginda dengannya, lalu air tadi dicurahkan kembali ke dalam mata air tersebut. Lantas, mata air tersebut mengalir deras, (atau katanya melimpah. Abu Ali syak pada perkataan manakah yang diucapkan) sehingga semua orang di situ dapat minum. Kemudian Baginda bersabda: "Wahai Muaz, jika panjang umurmu, lambat laun kamu pasti melihat kawasan ini dipenuhi tanaman." (Hadis  Riwayat Muslim,  no 706)

Pada saat ini kawasan Tabuk mula menghijau dengan sungai jernih mengalir di lembah antara gunung.  Di kawasan tersebut juga dilihat menurunkan salji selain daripada negara-negara Arab lain seperti Turki, Syria, Baitulmaqdis, Arab Saudi, Palestin, Lubnan, Mesir, Jordan dan sekitarnya yang mula terjadi sejak dari 2013 dan berlanjutan sehingga ke hari ini.

Beberapa saintis menjelaskan iklim yang lebih sejuk sedang bergerak dan menuju ke Semenanjung Arab yang membawa bersama salji dan hujan. Situasi ini secara langsung membawa rahmat yang besar dalam kehidupan khususnya tumbuh-tumbuhan.

Jika dilihat kepada kajian saintifik, salji adalah antara komponen utama dalam pembentukan tanah yang menjadi kondisi tanah tersebut lembab dan berair. Dengan keadaan yang berlajutan ini, maka tanah yang dahulunya gersang dan kering bertukar menjadi  subur. Ini tidak termasuk hujan yang sering kali turun terutama di kawasan Riyadh dan sekitarnya.

Apa yang berlaku boleh ditakrifkan sebagai sebahagian daripada kekuasaan Allah SWT yang dapat menukar sesuatu kawasan daripada padang gurun gersang kepada kehidupan yang menghijau serta subur, Maha Suci Allah, sesungguhnya Dia Tuhan Yang Maha Perkasa.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 7:01 AM