BERSAMA suami yang bermain gitar menyampaikan lagu Sama Saja.
BERSAMA suami yang bermain gitar menyampaikan lagu Sama Saja.
Oleh Michelle Gun


Baru dua bulan melancarkan lagu After The Rain yang ditujukan buat rakyat Malaysia, Najwa Mahiaddin tidak menunggu lama untuk memperkenalkan single terbaru berjudul Sama Saja.

Menariknya mengenai lagu itu, ia berkongsi kehidupan baru dalam berumah tangga bersama suami, Idris Koh Keng Hui.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Mac lalu selepas tujuh tahun berkenalan.

Berkongsi penghasilan Sama Saja, Najwa mengakui berdepan kesukaran berkarya dalam bahasa Malaysia kerana sebelum ini lebih kerap mencipta lagu Inggeris.

“Single itu ditulis bersama Ali Aiman pada Mac lalu dan berjaya disiapkan dalam tempoh sehari walaupun saya sukar menulis lirik dalam bahasa Malaysia.

“Namun, semuanya berjalan lancar kerana saya sudah mempunyai idea mengenai apa yang mahu diceritakan.

“Mujur ada Ali untuk membantu saya,” katanya selepas pameran seni dan rakaman muzik video Sama Saja di Galeri Chandan di Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut penyanyi berusia 29 tahun ini, lagu Sama Saja pada asalnya dicipta untuk projek Ikal Mayang yang bertemakan ‘serupa’ atau ‘similarities’.

“Tema projek itu memberi inspirasi kepada saya untuk berkongsi persamaan dengan suami kepada peminat menerusi lagu Sama Saja.

“Ia menjelaskan manusia tanpa mengira latar belakang sebenarnya mempunyai persamaan dalam mencari kebahagiaan,” katanya.

Biarpun seorang yang menjaga privasi, Najwa turut menampilkan suaminya untuk muncul dalam klip video Sama Saja yang akan dikeluarkan hujung bulan ini.

“Saya masih memegang kepada prinsip menjaga privasi, tetapi lagu ini sesuai dengan penceritaan hidup kami. Semestinya saya meminta kebenaran suami untuk muncul dalam muzik video itu,” katanya.

Lebih menarik, menurut Najwa, muzik video itu turut menampilkan 15 pasangan berlainan bangsa yang turut berkongsi pengalaman mereka mendirikan rumah tangga.

“Pasangan ini dipilih menerusi laman sosial Instagram. Ramai pengikut menunjukkan minat selepas saya mengumumkan mahu mencari pasangan untuk rakaman muzik video ini.

“Diharapkan lagu ini dapat menyampaikan mesej yang suami isteri berkahwin pasangan berbeza bangsa dapat hidup bahagia,” katanya.

Mengenai pameran seni pula, Najwa berkata, galeri itu mempamerkan 10 karya seni yang diilhamkan Jazon Khoo dan setiap daripada­nya membawa mesej tersendiri mengenai persamaan.

Sementara itu, menceritakan lanjut mengenai kerjaya nyanyiannya, Najwa mempunyai perancangan menghasilkan album baru.

“Buat masa ini, saya belum memikirkan konsep untuk album baru, namun proses pembikinannya sudah tentu mengambil masa lama,” katanya.

Najwa mula dikenali menerusi lagunya Got To Go pada 2011 dan album kedua berjudul Aurora diperkenalkan tahun lalu.

Najwa memenangi pelbagai anugerah antaranya Artis Baru Terbaik dan Lagu Inggeris Terbaik di Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 5:04 AM