LI Jin’ge pada persidangan Huawei Innovation Day - Asia.
LI Jin’ge pada persidangan Huawei Innovation Day - Asia.
Oleh Husain Jahit dari Singapura

Huawei Technologies Ltd terus komited membantu Malaysia dalam usaha mewujudkan komuniti digital dan terhubung menerusi pelbagai inovasi produk serta rumusan yang sudah terbukti di seluruh dunia.

Ahli Lembaga Pengarah dan Presiden Kawasan Asia Pasifik, Huawei, Li Jin’ge berkata, perkembangan teknologi dan inovasi di Asia mendahului trend dunia sebagaimana contoh di Malaysia dan Singapura dengan pembangunan jalur lebar nasionalnya yang lebih ke depan berbanding negara lain.

“Pada masa sama, banyak negara lain mengubah strategi atau merangka pelan berorientasikan teknologi makumat dan komunikasi (ICT) masa depan diikuti oleh polisi industri contohnya di Malaysia dengan inisiatif komuniti pintar, Singapura dan Jepun dengan inisiatif warga pintar, yang mana semua itu menganjak pembangunan ICT ke tahap tertinggi di dalam strategi negara masing-masing,” katanya pada persidangan Huawei Innovation Day - Asia, semalam.

Beliau berkata, sebagai syarikat ICT global, Huawei komited untuk turut serta dan menjadi antara pemain utama dalam membentuk prasarana ICT di Malaysia dan Singapura dalam usaha membangunkan jalur lebar kebangsaan negara masing-masing.

“Di Jepun dan Korea pula kami bekerjasama dengan pemain industri telekomunikasi untuk membangunkan teknologi komunikasi masa depan, serta rangkaian yang lebih terhubung, lebih berkeupayaan dan lebih pantas,” katanya.

Sementara itu, mengenai komitmen di negara serantau lain, Li berkata, Huawei berdedikasi membantu dalam setiap perancangan ICT mereka menerusi kepelbagaian produk dan inovasi yang dimiliki.

Sejak 30 tahun lalu, Huawei menumpukan kepada usaha menyelesai dan menyediakan keupayaan komunikasi untuk masyarakat, namun sekarang ia berubah ke arah pembangunan inovasi dunia terhubung tidak kira manusia kepada manusia, manusia ke mesin dan mesin ke mesin.

“Huawei menjangkakan pada 2020 lebih 100 bilion orang atau benda akan terhubung. Oleh itu, ekosistem industri baru berasaskan jalur lebar, perkomputeran awan, data besar dan teknologi Internet untuk semua (IoT) tidak hanya akan menjadi enjin untuk pendigitalan dan industri, tetapi juga menjadi pemacu kepada semua rangka perancangan bandar, pengurusan dan tahap kepuasan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 6:37 AM