ANTARA babak dalam Hikayat Merong Mahawangsa.
ANTARA babak dalam Hikayat Merong Mahawangsa.

Teater Bangsawan Hikayat Merong Mahawangsa (Suaraku Bernafas) di bawah produksi Opera Sri Bandaraya DBKL akan mengisi slot pementasan Siri Semarak Bangsawan 2014 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula malam ini hingga Ahad jam 8.30 malam.

Sebagai rakan kerjasama untuk program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta tuan rumah lokasi pementasan, DBKL menjanjikan persembahan mantap daripada barisan pelakonnya dalam teater hasil skrip dan arahan Raja Azrey ini.

Pengurus Kebudayaan dan Kesenian DBKL merangkap Pengarah Projek teater ini, Mohamed Fauzi Ahmad berkata, persediaan secukupnya sudah dilakukan untuk persembahan siri ketujuh dalam program tahun ini.

"Ini penganjuran kali kelapan dalam kerjasama ini, tetapi yang pertama berlangsung di Auditorium DBKL. Sebelum ini, pementasan dibuat di Panggung Bandaraya. Memandangkan sambutan hangat daripada penonton, kami mengubah ke sini kerana dapat memuatkan kapasiti lebih ramai.

"DBKL hanya menjalankan kerjasama, tapi tidak ambil bahagian dalam pementasan pertama pada 2007. Bermula pada 2008 hingga kini, barulah kami ambil bahagian dengan menampilkan lakonan daripada kakitangan DBKL," katanya.

Fauzi berkata, persetujuan dengan JKKN menetapkan bahawa semua produksi terpilih boleh mementaskan semula (re-stage) naskhah bangsawan terbaik termasuk Hikayat Merong Mahawangsa.

"Kami perlu pilih karya yang boleh menarik penonton. Ada cerita yang boleh tarik golongan muda dan ada juga yang menarik kehadiran golongan bangsawan (kerabat diraja).

"Kami juga menyokong Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) dengan menyediakan terjemahan dalam bahasa Inggeris untuk menarik kehadiran pelancong luar negara untuk menonton," katanya.

Menurutnya, kumpulan Opera Sri Bandaraya membariskan pelakon terdiri daripada unit kesenian dan kebudayaan serta pemuzik DBKL sendiri yang berpengalaman berlakon dalam Siri Semarak Bangsawan sebelum ini.

"Tahun-tahun terdahulu kami ambil juga pelakon luar seperti Datuk Jalaluddin Hassan, tetapi sekarang kami gunakan orang dalam sepenuhnya. Hanya Raja Azrey sahaja diambil mengarah untuk bagi kekuatan dan suntikan komersial pada cerita ini.

"Sebenarnya Hikayat Merong Mahawangsa pernah dipentaskan oleh kami, tetapi untuk kali ini ia tetap ada kelainan daripada segi susunan muzik, kostum dan set pentas. Pelakon yang dulunya berlakon pun diberikan watak berbeza agar mereka lebih versatil.

"Yang pasti, pe­ngarah yang ditampilkan dalam setiap pementasan bertukar-tukar dan secara tak langsung pelakon dapat pengalaman baru dan berbeza," katanya.

Fauzi berkata, walaupun berbentuk komersial dan menampilkan lagu segar, struktur bangsawan tetap dikekalkan seperti 'extra turn' sementara menunggu peralihan babak berikutnya.

"Versi ini berbeza dengan versi filem Hikayat Merong Mahawangsa. Kami lebihkan penceritaan dengan babak percintaan, perjuangan dan komedi. Kami kena ringkaskan setiap babak agar tidak terlalu lama mencapai dua jam kerana bimbang penonton bosan.

"Penyanyi yang buat persembahan terdiri daripada kakitangan unit kesenian DBKL sendiri serta Fynn Jamal yang popular dengan lagu Arjuna Beta," katanya.

Hikayat Merong Mahawangsa mengisahkan pasangan kekasih Merong Mahawangsa dan Embok seorang gadis kampung di Tanah Lang­kasuka. Konflik bermula apabila

Embok dilarikan Tentera Taji dalam satu pertempuran.

Kelemahan tenaga dan kekuatan Tentera Langkasuka membuatkan usaha Merong terjejas sehingga datang Laksamana Liu Yun tentera dari China yang juga ingin menyelamatkan adiknya Puteri Liu Lin.

Mereka bersetuju untuk bergabung tenaga bagi menyelamatkan kedua-dua orang yang disayangi. Apakah muslihat Tentera Taji?

Sebarang pertanyaan dan tempahan tiket boleh dibuat dengan menghubungi JKKN di talian 03-2614 8200.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 7:15 AM