Oleh Amirul Haswendy Ashari


Setiap kali tiba musim perayaan satu-satu kaum, semua masyarakat di negara ini turut merasai kemeriahannya. Selasa ini, penganut agama Hindu merayakan pesta cahaya Deepavali.

Selebriti METRO AHAD sempat meluangkan masa bersama dua pelakon jelita, Pushpa Narayan dan Sangeeta Krishnasamy yang membuat sedikit persiapan di sekitar Little India, Brickfields, Rabu lalu.

Bagi Pushpa juga ibu kepada dua anak, Rhea Rosa Robless, 4, dan Robert Robless, 2, persiapan tahun ini ala kadar sahaja kerana umum tahu harga barang hampir semuanya naik.

“Seperti biasa, baju raya seperti sari dan jipa (kurta) memang saya beli untuk anak dan ibu bapa. Di kampung, selalunya saudara mara akan berkumpul hias rumah dan masak kuih terutama maruku.

“Saya pula, selain belikan baju raya, mesti akan bawa balik kuih-muih yang tiada di Jerantut,” katanya.

Anak jati Pahang ini akui beraya di kampung jauh berbeza berbanding di bandar.

Katanya, sejak berkahwin dengan Richard Frederick Robless yang beragama Kristian berasal dari Pulau Pinang pada November 2007, aktiviti balik kampung setiap Deepavali tidak pernah terlepas.

Apatah lagi dengan semangat kejiranan dan amalan menyambut tetamu yang berkunjung ke rumah sepanjang hari perayaan.

Pushpa akui ibunya paling sibuk memasak untuk tetamu. Seawal jam 5 pagi, ibunya mula memasak terutama kari kambing.

“Di kampung, sesiapa saja boleh datang rumah pada bila-bila masa tanpa dijemput dan mereka akan dihidangkan dengan apa saja makanan yang ada.

“Berbeza dengan di KL, selalunya tunggu orang jemput baru boleh datang rumah. Apabila lihat situasi ini, kampung kecil macam tempat saya lebih seronok sebab kita tidak rasa kekok untuk berkunjung ke rumah jiran,” katanya sering merindui suasana itu.

Pushpa melihat orang kampung mempunyai hati yang besar kerana menganggap semua orang adalah kawan yang perlu dihormati sama ada dikenali atau tidak.

Lain pula halnya masyarakat bandar yang jarang kenal dengan jiran dan situasi itu nyata asing buat Pushpa.

“Saya tidak boleh hidup seperti itu. Apa sekalipun, ia bergantung kepada individu. Kalau jiran nak sombong juga, nak buat macam mana. Bukannya boleh halang!

“Mujurlah di kawasan kejiranan saya, hampir semua saya kenal baik Melayu atau Cina. Waktu petang, kami masih boleh duduk bersembang dan anak bebas bermain sesama mereka,” katanya.

Berpaksikan cara kehidupan dipraktiknya seisi keluarga, Pushpa akui semangat kejiranan masih lagi wujud, cuma mungkin tidak semeriah dulu.

Katanya, untuk pecahkan tembok, seseorang perlu mulakan perbualan terlebih dahulu biarpun hanya soalan klise biasa.

“Saya seorang yang peramah dan selalunya saya akan mulakan dulu. Saya rasa pelik kalau tak ucap ‘helo’ pada jiran saya. Kita tak perlu tunggu orang lain mulakan dulu, kita kena mulakan!

“Kalau ke mana-mana, selalunya kita tak tegur orang yang kita tak kenal bukan? Jadi, selalunya saya akan mulakan dulu dan pecahkan kesunyian,” katanya yang menterapkan nilai murni sama kepada anak.

Hal sama dilakukan pelakon jelita bermata bundar, Sangeeta, 29, saat bercerita mengenai persiapan perayaan Deepavali.

Selain melakukan sedikit persiapan raya seperti membeli-belah di sekitar Little India, Brickfields, anak jati Kuala Lumpur ini merancang melakukan aktiviti bersama keluarga sempena perayaan.

“Dulu ketika nenek masih ada, kaum keluarga akan berkumpul di rumahnya di sini. Tapi sejak dia meninggal dunia dan tiada lagi tempat berkumpul, kami mula mencari aktiviti lain.

“Deepavali kali ini, saya merancang membawa keluarga bercuti ke Melaka sebab sudah lama tidak luangkan masa bersama mereka kerana terlalu sibuk,” katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik ini berkata, tahun ini aktiviti keluarganya juga berbeza.

Katanya, dia dan keluarga membantu mengumpul dana dengan menjual apa saja produk yang dihasilkan golongan ibu tunggal dan anak yatim yang sering berkumpul di sebuah ‘ashram’ atau pusat kerohanian di Johor.

“Kami gembira dapat tolong jual apa saja yang dihasilkan dan masa sama membantu mereka untuk turut sama bergembira menyambut Deepavali.

“Selain itu, saya juga mula berjinak-jinak dengan aktiviti sukarela membantu haiwan terbiar,” katanya yang mula menjadi ‘vegetarian’ sejak terbabit dengan aktiviti itu.

Ingin luaskan langkah

Melihat betapa luasnya peluang dalam industri hiburan Malaysia, Pushpa dan Sangeeta akui menyimpan hasrat untuk terus dikenali dalam industri tempatan sebagai anak seni.

Sangeeta akui mula buka mata pada industri hiburan Malaysia yang mempunyai peluang serta ruang lebih luas untuk masyarakat berbilang kaum.

“Selepas menonton Polis Evo, saya jadi kagum dan percaya saya perlu mengorak langkah untuk ke depan. Saya mahu dikenali sebagai pelakon yang ada kelebihan dalam bidang aksi.

“Kebetulan saya dalam persiapan untuk satu filem tempatan yang memerlukan saya jadi pakar dalam silat gayung serta kalari payat,” katanya.

Mengakui ‘jatuh cinta’ dengan Shaheizy Sam selepas menonton Polis Evo, Sangeeta turut menyimpan impian bekerja dengan pengarah seperti Ghaz Abu Bakar, Mamat Khalid atau Osman Ali yang disifatkan antara pengarah terbaik pernah lahir di Malaysia.

Begitu juga Pushpa yang mahu terus diberi peluang berlakon oleh produksi tempatan. Antara memori paling indah ketika beraksi dalam drama bersiri Fara arahan Aziz M Osman.

Pushpa dan Sangeeta yang berganding bersama dalam filem Maravan yang ditayangkan bulan lalu, tidak menolak jika ada tawaran daripada mana-mana syarikat penerbitan atau pengurusan artis yang mahu membawa mereka ke peringkat lebih besar dalam industri hiburan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:05 AM