NUR Adilah Nuha (kanan) meraikan Deepavali  bersama keluarga.
NUR Adilah Nuha (kanan) meraikan Deepavali bersama keluarga.

Pasir Gudang: “Saya seronok apabila dapat menyambut hampir semua hari perayaan di negara ini disebabkan ahli keluarga saya terdiri daripada pelbagai kaum,” kata Nur Adilah Nuha Abdullah, 40.

Menurutnya, tidak ada istilah janggal baginya bersama ahli keluarga lain untuk menyambut pelbagai jenis perayaan kerana ia sudah diamalkan sejak zaman nenek moyangnya.

Nuha yang juga anak hasil perkahwinan campur iaitu India di sebelah bapa dan Baba Nyonya di sebelah ibu berkata, ia menjadi satu keunikan serta kekuatan keluarganya kerana mereka lebih memahami budaya antara satu sama lain.

“Antara kelebihan hasil perkahwinan campur ini apabila tiba musim perayaan tidak kira agama atau kaum, kami sambut semua sekali, macam hari ini walaupun sudah memeluk Islam selain bersuamikan orang Melayu, saya tetap meraikan Deepavali.

“Begitu juga apabila tiba Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Krismas, kami tetap menyambutnya kerana ramai dalam kalangan kaum keluarga saya kahwin campur.

“Ia tidak menjadi masalah kerana masing-masing memahami apa yang boleh dan tidak boleh diamalkan atau dimakan mengikut agama masing-masing, ini menjadikan kami lebih menghargai satu sama lain,” katanya ketika ditemui di kediaman ibunya di Taman Kota Masai, di sini, semalam.

Menurut Nuha, antara kelebihan lain dirasainya selain dari segi budaya, apabila masing-masing boleh berkomunikasi dalam pelbagai bahasa dan juga merasai keunikan hidangan makanan mengikut kaum.

“Apabila ramai dapat berkumpul, paling seronok adalah kami akan berbahasa campur seperti Melayu, Cina, Tamil, Inggeris, Portugis dan Serani.

“Mengenai makanan, kami berpeluang makan pelbagai jenis makanan, tetapi masing-masing tahu jika ada yang tidak boleh di makan,” katanya.

Ibu Nuha, Thye Annie, 59, berkata, dia seronok kerana keluarganya terdiri daripada pelbagai kaum selain memiliki cucu terdiri daripada pelbagai warna kulit.

“Saya seronok apabila anak pulang menyambut Deepavali, saya adalah penganut Hindu kerana mengikut agama mendiang suami (M Vadivelu).

“Walaupun dua anak iaitu Nuha dan adiknya (Iskandar Mirza Abdullah, 32) sudah memeluk Islam, mereka tetap pulang menyambut Deepavali.

“Saya gembira kerana agama bukan penghalang untuk mereka beraya bersama saya,” katanya yang mempunyai lima anak dan lapan cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 9:50 AM