TERENGGANU akan menentang LionsXII di Gong Badak, malam esok.
TERENGGANU akan menentang LionsXII di Gong Badak, malam esok.
Oleh Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Aura beraksi di laman sendiri bakal dijadikan pembakar semangat buat pemain Terengganu menewaskan LionsXII malam esok.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, berbekalkan sokongan padu peminat setia yang dijangka membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak, pasukannya dilihat mampu mencapai matlamat itu.

“Kini semua pemain sudah bersedia memberikan aksi terbaik dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu. Apa yang kami harapkan adalah sokongan padu penyokong untuk menyuntik semangat pemain,” katanya.

Terengganu kini berada di tangga ketiga Kumpulan A di belakang LionsXII dan Kedah dengan mengutip mata sama dengan skuad Helang Merah itu.

Pasukan berkenaan perlu menang sekurang-kurangnya dengan kelebihan dua gol untuk mengatasi pasukan dari Singapura itu bagi menempah tempat dua pasukan terbaik kumpulan.

“Kehadiran semula Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) yang akan digandingkan dengan Issey Nakajima, saya lebih berkeyakinan jentera serangan kami akan bertambah mantap,” katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan tahun ini, Terengganu menewaskan LionsXII dua kali termasuk saingan kedua Piala FA dengan keputusan 3-2 dan 4-2 dalam saingan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 8:19 AM