Pemain Terengganu, Issey Nakajima (kanan) meledak gol pertama Terengganu menentang Selangor. FOTO NSTP/ASWADI ALIAS
Pemain Terengganu, Issey Nakajima (kanan) meledak gol pertama Terengganu menentang Selangor. FOTO NSTP/ASWADI ALIAS
Oleh Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu terus menambah derita skuad juara Piala Malaysia musim lalu Selangor apabila berjaya menumpaskan pasukan itu 3-1 dalam aksi penuh mendebarkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak Kuala Nerus malam ini.

Bagaimanapun sebaik aksi bermula pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan tidak menunggu lama apabila melakukan asakan ke arah pintu gol lawan menerusi rangkaian penyerang yang diketuai pemain import Patrick Ronaldinho Wleh pada minit kedua dan Mauro Olivi dua minit kemudian.

Dua minit berselang, pasukan tuan rumah yang menurunkan kesebelasan utama termasuk penyerang import dari Kanada Issey Nakajima Farran yang baharu sembuh daripada kecederaan tidak mahu mengalah dengan melakukan asakan pertama menerusi penyerang muda Muhammad Amirul Syahmi Ashari namun gagal menemui pintu gol juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu.

Pada minit ke-18 dan 30 Muhammad Amirul Syahmi sekali lagi mencemaskan pintu gol The Red Giants dengan percubaan menarik disusuli peluang terbaik untuk jaringan pembukaan menerusi Issey Nakajima enam minit kemudian.

Serangan berterusan skuad tuan rumah bagaikan memberi isyarat awal kepada pasukan The Red Giants yang tampak sedikit tertekan untuk mengembalikan semula keyakinan selepas tumpas dua aksi terakhir dalam saingan Piala FA dan Piala AFC.

Pelawat yang kelihatan banyak bertahan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-36 menerusi Andik Vermansah namun tendangan leret pemain dari Indonesia itu sedikit sipi di sebelah kiri pintu gol Terengganu yang dikawal Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Terengganu yang mengidam kemenangan ketiga dalam aksi liga terus mencipta gerakan menarik dan hasilnya Issey Nakajima yang tidak dikawal melakukan sepakan lencong sekali gus menewaskan penjaga gol pelawat untuk jaringan pertama tuan rumah pada minit ke-45.

Sebaik perlawanan bersambung pasukan pelawat tidak menunggu lama apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi tendangan jarak jauh pemain sayap R Gopinathan pada minit ke-46 yang gagal diselamat kan penjaga gol.

Bagaikan tersentak dengan jaringan itu Terengganu memperkemaskan asakan dengan melakukan dua pertukaran pemain dengan memasukkan Joseph Kalang Tie dan Juan Jose Morales namun terus buntu untuk menambah jaringan.

Sebaliknya pelawat yang tampil dengan watak berbeza pada babak kedua untuk bangkit darpada derita dua perlawanan lalu hampir menambah jaringan menerusi R Gopinathan pada minit ke -62 dan 72 yang terkena tiang gol.

Skuad Peteh Terengganu Peteh yang kemaruk jaringan terus menggandakan asakan bertali arus ke kubu pelawat dan pemain yang sebelum ini diperam skuad itu Morales berjaya menghasilkan jaringan kedua tuan rumah pada minit ke-79.

Derita skuad pelawat berterusan apabila Issey Nakajima meledak jaringan ketiga tuan rumah dengan tandukan cantik selepas menerima hantaran daripada Kalang Tie pada minit ke-87 sekali gus berjaya mencatat kemenangan ketiga dalam saingan Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 11:20 PM