London: Kempen Piala Liga Inggeris berakhir buat Leicester City selepas tewas 4-5 menerusi penentuan penalti di tangan Hull City di Stadium KC apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit permainan.

Ketika perlawanan seakan buntu, pemain gantian Leicester Danny Drinkwater, Jamie Vardy dan Riyad Mahrez (gambar) bergabung untuk membentuk serangan dan hasilnya, mereka berjaya memecahkan kekebalan benteng pertahanan Hull pada minit ke-100.

Drinkwater membuat hantaran tepat ke arah Vardy yang melepaskan rembatan tetapi berjaya dihalang penjaga gol lawan. Begitupun, gerakan susulan yang dilakukan Mahrez berjaya menghasilkan gol buat Leicester.

Seminit kemudian, cubaan Chuba Akpom diselamatkan di atas garisan gol tetapi gerakan susulan penjaring terbanyak Hull Abel Hernandez membantu pasukannya menyamakan kedudukan.

Jaringan itu memaksa pemenang ditentukan menerusi penalti dan selepas cubaan Mahrez melewati palang, Hull pula bijak menyempurnakan semua lima sepakan untuk mencatat kemenangan 5-4. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 9:43 AM