Zulfahmi risau keadaan litar beralun menyukarkan mendapat pelarasan terbaik. - Pix Bernama
Zulfahmi risau keadaan litar beralun menyukarkan mendapat pelarasan terbaik. - Pix Bernama

Sepang: Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin daripada pasukan Drive M7 SIC mendakwa permukaan tidak rata di beberapa selekoh di Litar Sepang merunsingkan beliau kerana menyukarkan pasukannya mencari pelarasan terbaik bagi jenteranya dalam perlumbaan Motosikal Grand Prix malaysia 2015 Ahad ini.

Zulfahmi mendakwa keadaan litar beralun itu menyukarkan pasukannya melakukan pelarasan dengan baik berbanding ketika beliau berlumba di Litar Motegi, Jepun dan Litar Philip Island, Australia sebelum ini.

"Saya dan pasukan lebih susah untuk mencari pelarasan motosikal yang terbaik di sini kerana permukaan litar semakin beralun berbanding tahun lepas. Saya yakin pelumba-pelumba lain tidak dapat mencatat rekod pusingan baru di sini," dakwa pelumba 24 tahun itu.

Zulfahmi melakukan catatan masa terbaik pada latihan bebas kedua hari ini iaitu dua minit 14.663 saat di kedudukan ke-12 walaupun pada sesi latihan pertama beliau berada dalam kelompok 10 terbaik dengan catatan masa 2:15.053s.

Beliau juga berharap dapat mempertingkatkan catatan masa iaitu sesaat lebih baik daripada sesi latihan hari ini untuk pusingan kelayakkan esok.

"Saya harap dapat memperbaiki lagi catatan masa 2 minit 14 saat di setiap pusingan. Sasaran saya adalah mahu berada dalam kelompok pelumba hadapan pada sesi kelayakan esok.

"Saya lebih memilih berlumba dalam cuaca kering kerana pasukan membuat 'pelarasan' yang lebih baik untuk litar kering. Walaupun berjerebu saya tidak merasakan keadaan itu menganggu penglihatan atau penafasan saya," katanya.

Rakan sepasukannya Jakub Kornfeil dari Republik Czech mencatat masa terbaik pada sesi latihan pertama iaitu 2:14.419s di kedudukan kelima berbanding kedudukan ke-11 pada sesi latihan kedua dengan masa 2:14.588s.

"Catatan masa saya dalam latihan bebas pertama saya adalah lebih baik daripada latihan bebas kedua kerana suhu litar tidak terlalu panas. Saya menyasarkan barisan tiga teratas pada hari perlumbaan," kata Kornfeil. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 8:13 PM