Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Umpama mendapat keyakinan semula, begitulah dirasai pelumba berpengalaman negara Zulfahmi Khairuddin selepas menguji kali pertama jentera baru KTM RC250 miliknya pada sesi ujian di Jerez, Sepanyol, kelmarin.

Pelumba yang bakal beraksi bersama pasukan baru SIC Racing Team pada musim depan itu berkata, jentera KTM yang kali pertama ditunggangnya itu ternyata lebih baik berbanding jentera Honda ketika bersama pasukan Onggeta Airasia pada musim lalu.

“Prestasi jentera KTM ini sangat baik, malah untuk mengawalnya juga lebih selesa berbanding jentera musim lalu.

“Dengan sokongan kru pasukan yang amat baik, saya yakin kami akan memperoleh hasil yang cukup positif.

“Apapun, kami perlu bekerja keras pada musim sejuk ini kerana segala-galanya baru,” katanya ketika dihubungi semalam.

Zulfahmi berkata, kru KTM juga sangat membantunya serta pasukan dalam usaha menghasilkan catatan terbaik di atas litar.

“Mereka hadir memberi sokongan. Saya harapkan cuaca baik pada baki sesi ujian selepas ini untuk membolehkan kami memperoleh maklumat diperlukan,” katanya.

Pada musim depan, Zulfahmi akan bergandingan dengan pelumba Republik Czech, Jakub Kornfeil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:08 AM