Kasihan SS mendengar cerita kekasih seorang pelakon lelaki popular ini yang dikikis harta dan wang ringgitnya.

Difahamkan, pelakon terbabit sanggup mempermainkan perasaan wanita itu demi kemewahan hidup.

Ceritanya, selama ini pelakon yang boleh tahan kacak itu bukan main berkepit seperti kekasih awal dan akhir dengan wanita terbabit.

Demi cinta kononnya, wanita berharta itu pula rela memanjakan pelakon itu dengan segala kesenangan. Maklumlah, dengar cerita si wanita memang berduit orangnya kerana kerjaya dan perniagaan sampingannya.

Pelakon itu pun berdrama kasih dan sayanglah terhadap wanita berkenaan hingga dia terpedaya dengan cinta palsu itu.

Hendak dijadikan cerita, pelakon itu terbabit dengan satu kontroversi yang memalukan sekali gus membuatkan hubungan mereka putus.

Ketika itu barulah wanita itu tahu rupa-rupanya kasih sayang yang diungkapkan pelakon itu selama ini hanya lakonan semata-mata.

Lebih menyedihkan, pelakon terbabit juga dikatakan meninggalkan wanita itu begitu saja selepas kontroversi meletus.

Menyesal tak sudah wanita itu kerana bukan saja perasaannya dipermainkan, malah harta dan wang juga turut lebur!

SS terkilan mendengar nasib menimpa wanita berkenaan kerana terlalu mudah percayakan cinta lelaki tanpa menyelidik terlebih dulu.

Pelakon itu pula jangan ingat dirinya boleh lepas begitu saja selepas penganiayaan yang dilakukannya.

Tunggu sajalah nanti, balasan daripada Tuhan pasti datang atas perbuatannya itu.

SS: Tidak sanggup melukakan hati orang tersayang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 8:53 AM