Oleh Aizat Sharif

Kangar: Lelaki warga Thailand berusia 30-an cedera di punggung akibat terkena tembakan ketika cuba melarikan diri semula ke negara itu di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Chuping, Perlis pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 5 pagi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Pos 28 Chuping, Padang Besar yang mana anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika itu ternampak kelibat tujuh hingga lapan orang berpakaian gelap cuba menceroboh masuk ke Malaysia melalui pagar di kawasan itu.

Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, apabila anggota PGA yang bertugas itu ternampak suspek berkenaan, mereka menyergah suspek menyebabkan suspek berpatah balik melarikan diri semula ke Thailand menggunakan laluan pagar yang sudah dipotong oleh mereka.

“Seorang daripada mereka tersangkut pada dawai pagar berkenaan dan kedengaran empat das tembakan dilepaskan dari arah kawasan Thailand.

“Apabila anggota PGA mendekati lelaki yang tersangkutdi dawai pagar itu, mereka mendapati dia cedera terkena tembakan itu di bahagian punggungnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, petang tadi.

Shafie mengesahkan bahawa tembakan itu tidak dilepaskan oleh anggota PGA dan tidak diketahui sama ada tembakan berkenaan menyasarkan lelaki warga Thailand itu atau anggota PGA.

Lelaki berusia 30an itu dibawa ke Hospital Jitra sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dirawat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 5:57 PM