Oleh Norizuan Shamsuddin

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya merampas 58,000 DVD cetak rompak dalam serbuan di rumah teres di Balakong, Kajang, hari ini.

Ketua Seksyen Harta Intelek Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Putrajaya, Osman Nawang, berkata pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan yang sedang giat memproses DVD cetak rompak ketika serbuan, pada 8.30 pagi.

Katanya, pihaknya percaya premis terbabit dijadikan tempat untuk menyimpan dan memproses DVD cetak rompak berikutan terdapat 10 mesin menyalin atau 'Burner'.

"Kami terpaksa pecah masuk rumah terbabit berikutan tiada kerjasama dari penghuni.

"Selepas memasuki didapati ia dijadikan tempat memproses DVD cetak rompak menggunakan 10 mesin menyalin dengan lima daripadanya sedang berfungsi membuat salinan filem dalam format DVD yang dikendalikan oleh dua lelaki.

"Hasil pemeriksaan turut menemui sejumlah 58,000 DVD pelbagai tajuk yang disimpan di dalam premis terbabit," katanya ketika di hubungi.

Osman berkata, peralatan menyalin dan memproses cakera cetak rompak disita bersama DVD yang siap disalin serta jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM470,000.

Katanya, kedua lelaki terbabit direman untuk di siasat mengikut Akta Hakcipta 1987 dan Akta Cakera Optik 2000.

"Jika disabitkan kesalahan mereka boleh di denda minimum RM2,000 seunit dan maksimum RM20,000. Manakala bagi 'Burner' denda minimum RM4,000 dan maksimum RM 40,000 bagi setiap unit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 9:44 PM