JEREBU di Temerloh. FOTO Farizul Hafiz Awang
JEREBU di Temerloh. FOTO Farizul Hafiz Awang

Kuala Lumpur: Semua sekolah di Johor, Terengganu dan Kelantan dibuka seperti biasa, esok, selepas berakhirnya cuti persekolahan seminggu.

Ini memandangkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga 4 petang tadi, masih di bawah 200 di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan, di sini, hari ini menyatakan jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah bagi negeri berkaitan perlu memantau maklumat bacaan IPU yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib.

Sekiranya berlaku perubahan terhadap bacaan IPU kepada keadaan tidak sihat (IPU 101-200) atau sangat tidak sihat (IPU 201-300), pihak berkenaan boleh mengambil tindakan di peringkat masing-masing berdasarkan Surat Siaran KPM Bil 17 Tahun 2-13 bertarikh 7 Ogos 2013 [Langkah-langkah Kementerian Pendidikan Malaysia Bagi Menjamin Kesihatan dan Keselamatan Murid-murid di Sekolah-Sekolah Yang Berada Dalam Kawasan Berjerebu Yang Dianggap Kritikal].

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, sehingga 6 tadi, lapan kawasan mencatatkan IPU baik, 27 kawasan (sederhana), 16 kawasan (tidak sihat).

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 9:08 PM