Sekarang ini SS lihat semakin ramai pereka fesyen yang muncul. Masing-masing berlumba menunjukkan rekaan sendiri. Pastinya mereka mahu cepat dikenali sebagai strategi pemasaran untuk lebih meluaskan jenama mereka. Menggunakan artis

juga salah satu cara yang lebih cepat dan mudah untuk jenama mereka dikenali.

Apabila sudah dikenali pastinya rezeki mereka turut meriah dan tidak menang tangan menerima tempahan pakaian. Apabila sudah banyak tempahan, perlunya pekerja membantu memudahkan segala urusan.

Namun, apabila sudah mengambil pekerja bayarlah gaji mereka bukan buat mereka macam sukarelawan yang boleh disuruh itu ini, tetapi satu sen tidak dibayar.

Ini berlaku terhadap seorang pekerja pereka fesyen terkenal. Jika SS sebut namanya pasti semua orang tahu, malah dia turut pernah berdepan masalah dengan beberapa artis mengenai rekaannya.

Rasa susah juga hendak percaya apa yang berlaku, tetapi cerita ini diluahkan sendiri oleh pekerjanya.

Katanya, hampir empat bulan bekerja di situ jarang sekali gaji dibayar penuh. Sudahlah begitu lewat pula dapat setiap bulan sehinggakan pekerja terpaksa ikat perut.

Pada mulanya, dia juga fikir mungkin pereka itu ada masalah kewangan, tetapi apabila sudah lama dia mula terkilan dan hilang sabar.

Pereka fesyen itu sering mendapat banyak tempahan dan tiada masalah. Namun, tidak faham kenapa dia bersikap begitu.

Sudahnya, pekerja pereka fesyen itu ambil keputusan berhenti kerja kerana sudah tidak tahan lagi.

SS: Tutup periuk nasi orang, nanti Allah tutup pula periuk nasi kita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 7:58 AM