KUIH bijan yang dihasilkan melalui mesin.
KUIH bijan yang dihasilkan melalui mesin.
Oleh Mohamad Hussin


Kuih bijan yang juga dikenali sebagai kuih buah rotan atau kuih redan antara kudapan tradisional masyarakat Melayu yang popular terutama pada musim perayaan.

Ia bukan saja popular di Malaysia bahkan di Indonesia. Resipi kuih bijan paling ringkas diperbuat daripada campuran tepung pulut, gula dan air.

Namun, kebanyakan resipi menggunakan telur dan santan. Secara tradisional, kuih bijan dihasilkan dengan cara menggentel doh menjadi bentuk bebola bersaiz guli menggunakan kedua-dua tapak tangan.

Peringkat ini paling sukar dan remeh kerana doh bersaiz kecil serta mudah melekat pada tapak tangan.

Bebola itu kemudian disalut dengan biji bijan sebelum digoreng dengan minyak masak menggunakan api sederhana sehingga berwarna kuning keemasan dan diangkat.

Ciri-ciri yang menentukan kualiti kuih bijan ialah dari segi warna dan kerangupannya. Warna yang perang atau kuning keemasan kelihatan menarik dan rangup apabila dimakan.

Penghasilan kuih bijan secara tradisional agak meletihkan dan jumlah pengeluarannya juga rendah kerana ia bergantung kepada kecekapan dan pengalaman si pembuatnya.

Justeru, sekumpulan penyelidik daripada Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) diketuai Prof Madya Dr Rosnah Shamsudin mengambil inisiatif menghasilkan mesin kuih bijan.

Projek itu turut dibantu pelajar peringkat sarjana, Tan Siong Biao serta dua pensyarah UPM iaitu Dr Mohd Afandi Mohammed dan Dr Nur Aliaa Abdul Rahman Rosnah berkata, mesin itu direka khas untuk meng­gantikan cara manual atau tradisional dalam peng­gentelan dan penyalutan bebola kuih bijan.

“Ia dapat meningkatkan jumlah pengeluaran kuih bijan tanpa memerlukan pekerja yang ramai.

“Walaupun menggunakan mesin, rasa kuih ini sama seperti yang dibuat secara manual. Malah, kualitinya lebih bagus kerana saiz dan bentuknya seragam.

“Secara keseluruhannya, mesin kuih bijan mengandungi empat proses utama iaitu penyemperitan doh, pemotongan doh, pembulatan dan penyalutan bijan,” katanya.

Menurutnya, mesin itu mudah dikendali dan tidak memerlukan pekerja mahir kerana ia bermula dengan memasukkan doh yang dibancuh ke bahagian pe­nyemperitan.

“Kemudian doh dibentuk menerusi acuan yang ditetapkan atau saiz bebola. Ukur lilit dan saiz bebola boleh ditentukan me­ngikut kehendak pengusaha atau pelanggan.

“Selepas itu, doh yang keluar daripada acuan dipotong untuk mendapatkan bebola kecil sebelum disalut biji bijan di dalam bekas pengumpulan.

“Bebola yang disalut bijan ditapis untuk membuang biji bijan yang berlebihan, seterusnya boleh digoreng seperti biasa.

“Kelebihan mesin bijan ini ialah proses penyemperitan dan pemotongan doh bebola boleh dilaraskan kelajuannya mengikut kesesuaian operator yang menggendalikannya,” katanya.

Rosnah berkata, dengan menggunakan mesin ini, proses menghasilkan kuih bijan yang remeh dan memenatkan akan menjadi lebih mudah, cepat, bersih, kadar pengeluaran lebih tinggi dan dapat mengatasi masalah pekerja.

Mereka juga pernah memenangi pingat perak di Bioinnovation Awards 2015 anjuran Malaysian Association of Research Scientists (MARS) dan PROTEMP Exhibition and Conferences Sdn Bhd manakala pingat gangsa di International Engineering Invention & Innovation Exhibition 2015 (I-Envex 2015).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:01 AM