New Delhi: Menteri Dalam Negeri India semalam mendesak supaya bahasa Hindi dijadikan bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Hindi perlu dijadikan satu daripada bahasa rasmi di PBB. Jika Hari Yoga Antarabangsa boleh diadakan pada setiap 21 Jun selepas dipersetujui 177 negara, mengapa tidak bahasa Hindi dijadikan bahasa rasmi PBB? Kita perlu berusaha untuk memastikan hasrat ini tercapai,” kata Rajnath Singh ketika berucap menutup Persidangan Hindi Sedunia yang berlangsung selama tiga hari.

Singh mendesak demikian selepas laporan menyatakan India melobi sokongan sekurang-kurangnya 129 negara anggota PBB supaya bahasa itu diberikan status bahasa rasmi di badan dunia itu.

Ketika ini, bahasa rasmi PBB ialah Inggeris, Perancis, Sepanyol, Russia, Cina dan Arab.

Singh, dalam ucapannya, meluahkan kekecewaannya kerana Hindi yang didakwanya menjadi bahasa penyatu ketika perjuangan kemerdekaan India masih tidak menjadi bahasa rasmi negara itu.

“Malangnya, selepas merdeka, pemimpin kita gagal menjadikan Hindi bahasa rasmi India kerana masalah politik serantau,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 6:26 AM