Rajwinder Singh ketika ditahan Polis Delhi, baru-baru ini. FOTO AFP
Rajwinder Singh ketika ditahan Polis Delhi, baru-baru ini. FOTO AFP
Agensi

Sydney: Hanya kerana berang anjing menyalak ke arahnya, jururawat lelaki bertindak kejam membunuh seorang wanita Australia di pantai Wangetti, utara Cairns, Queensland, pada 2018.

Itu pendedahan yang diperoleh pegawai penyiasat selepas lelaki berkenaan ditahan polis Delhi, baru-baru ini selepas lebih empat tahun menyembunyikan diri.

Portal India Today melaporkan, siasatan mendapati wanita dikenali sebagai Toyah Cordingley, 24, sedang berjalan bersama anjingnya di pantai berkenaan, kata penyiasat.

Rajwinder Singh, 38, yang berasal dari India turut ke pantai itu dengan membawa pisau dan beberapa buah.

Dia meninggalkan rumah selepas bertengkar dengan isterinya.

Bagaimanapun, ketika di pantai anjing Toyah menyalak ke arah Singh menyebabkan dia marah dan berlaku pergaduhan, kata penyiasat.

Berang anjing wanita itu menyalak ke arahnya, Singh didakwa menikam mangsa beberapa kali, menanam mayatnya di dalam pasir dan mengikat anjing itu pada pokok sebelum pulang ke rumah di bandar Innisfail, lapor Indian Express memetik penyiasat.

Singh warganegara Australia itu kemudian meninggalkan negara itu dua hari selepas kejadian.

Toyah Cordingley ditikam Singh kerana anjing wanita itu menyalak ke arahnya, FOTO Agensi.
Toyah Cordingley ditikam Singh kerana anjing wanita itu menyalak ke arahnya, FOTO Agensi.

Namun, Jumaat lalu dia ditahan di Jalan GT Karnal di Delhi Utara selepas lebih empat tahun bersembunyi dan dibawa ke mahkamah untuk proses ekstradisi.

"(Ketika bersembunyi) Dia langsung tidak berhubung dengan isteri atau anak-anaknya. Ibu bapanya tinggal di Punjab tetapi kami dapati dia juga tidak berhubung dengan mereka.

"Malah, dia kerap menukar tempat persembunyiannya di Punjab dan Delhi. Dia ditangkap ketika sedang transit di Delhi Utara.

"Dia juga menukar penampilannya untuk mengelak daripada ditangkap. (Ketika ini) Dia sedang disoal siasat dan dibawa ke mahkamah," kata sumber polis kepada Indian Express.

Ketika polis Queensland melancarkan pemburuan untuk menangkapnya, Interpol turut mengeluarkan Notis Merah terhadap Singh berikutan waran tidak boleh jamin dikeluarkan oleh Mahkamah Patiala pada 21 November di bawah akta ekstradisi.

Polis Delhi mula mencarinya selepas menerima maklumat daripada agensi.

Menurut sumber polis, tertuduh datang ke India dan mula tinggal di Punjab.

Singh akhirnya ditahan selepas pegawai penyiasat melancarkan gerakan mencari dari pintu ke pintu di kampungnya.

Dia dilihat memakai serban dan berjanggut.

Selepas penahanannya, Pesuruhjaya Polis Queensland Katarina Carroll memberitahu media: "Toyah dilaporkan hilang pada Oktober 2018 sebelum mayatnya ditemui secara tragis di Pantai Wangetti, Utara Cairns.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 4:11 PM