KEADAAN lori yang terbalik setelah terbabit dalam kemalangan dengan kereta. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN lori yang terbalik setelah terbabit dalam kemalangan dengan kereta. FOTO ihsan pembaca
Oleh Omar Osman


Sungai Petani: Hasrat warga emas mahu menghadiri mesyuarat MIC Bahagian Padang Serai tidak kesampaian apabila maut selepas kereta dipandu bertembung dengan lori di Sidam Kiri, di sini, hari ini.

Kemalangan berlaku pada 12.40 tengah hari selepas kereta dipandu mangsa, R Shanmugasundaram, 76, dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori pasir.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku selepas kereta dipandu mangsa yang juga Setiausaha MIC Padang Serai dipercayai keluar dari simpang berhampiran selekoh Kampung Banggol, Sidam Kiri, di sini.

Menurutnya, kereta berkenaan dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan.

Katanya, pada masa sama sebuah lori pasir datang dari arah hadapan gagal mengelak lalu merempuh kereta mangsa.

"Akibat itu mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan mati serta merta di tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 4:45 PM