ROKOK seludup yang berjaya dirampas polis di Jalan Pantai Kampung Puyut, Lahad Datu.
ROKOK seludup yang berjaya dirampas polis di Jalan Pantai Kampung Puyut, Lahad Datu.
Oleh Norasikin Daineh


Lahad Datu: Sebanyak 37,670 karton rokok pelbagai jenama yang cuba diseludup masuk ke daerah ini berjaya dirampas dalam satu serbuan di Jalan Pantai, Kampung Puyut, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi itu, rokok yang bernilai RM110,000 terbabit dirampas dalam Op Cantas Khas yang dilakukan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Lahad Datu.

"Dalam operasi itu, polis berjaya menahan sebuah lori yang melalui jalan berkenaan dan hasil pemeriksaan di kargo lori mendapati pelbagai jenis rokok ditemui dipercayai diseludup masuk untuk pasaran di daerah ini.

"Seorang lelaki berusia 36 tahun yang memandu lori berkenaan ditahan dan lori termasuk rokok serta wang tunai bernilai RM700 turut dirampas untuk siasatan lanjut," kataanya dalam kenyataan medianya sebentar tadi.

Menurut Hamzah, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 3:26 PM