Ramallah: Presiden Palestin Mahmoud Abbas semalam mengucapkan terima kasih kepada negara yang mengundi untuk membolehkan Palestin dibenar mengibarkan benderanya di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Perhimpunan Agung PBB, dengan undi dua pertiga kelmarin meluluskan ketetapan membenarkan bendera Palestin dan Holy See, kedua-duanya negara bukan anggota dengan status pemerhati, dikibarkan bersama bendera negara anggota pertubuhan dunia itu.

“Negara yang mengundi kami meletakkan diri mereka di sebelah pihak yang benar dan adil,” lapor agensi berita Palestin Wafa, memetik kenyataan pemimpin itu.

Mahmoud juga berkata: “Perjuangan rakyat Palestin akan berterusan sehingga bendera kami berkibar di ibu negara kami di Baitulmaqdis.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:10 AM